Wednesday, March 08, 2006

TANGGUNGJAWAB IBU BAPAa

Tanggungjawab Ibubapa

Ikatan perkahwinan dan kehidupan berumatangga bukan sekadar untuk berseronok semata-mata tetapi merupakan suatu komitmen sepanjang hayat yang penuh dengan pelbagai peranan, tugas dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh kedua-dua pasangan yang telah sama-sama melafazkan kesetiaan dan perjanjian mereka untuk bersama-sama sehidup semati.Dalam usaha melaksanakan pelbagai peranan sebagai ibubapa kepada anak-anak yang di anugerahkan dan diamanahkan oleh Tuhan kepada insanNya, maka renungkanlah sejenak sejauhmanakah persediaan kita mengemudi rumahtangga untuk mengharungi kehidupan yang luas terbentang lagi bergelora.Peranan IbubapaMengenalpasti peranan ibubapa dapat membantu ibu bapa melakukan persediaan awal yang bersesuaian menurut keupayaan dan kemampuan diri sendiri.
Sebagai pendidik -Memberi bimbingan dan tunjukajar mengenai kehidupan dunia dan akhirat serta memiliki peribadi yang baik; baik hati, bersimpati, sabar, pemaaf, bertolak ansur dan berpengetahuan.
Sebagai Pemudahcara – membantu anak memperkembangkan bakat dan kebolehan anak-anak, penggalak atau pendorong yang baik dan mampu mengesan serta menyatakan kepada anak kekuatan dan kelemahan mereka
Sebagai Perancang – merancang masa depan setiap anak supaya berdaya saing dengan memahami proses perkembangan dan keperluan kanak-kanak, mengenalpasti jenis tugas yang perlu dilakukan oleh setipa individu yang terlibat
Sebagai Pengelola – mampu mengarah dan mengawal anak-anak dengan cara yang paling berkesan tanpa mewujudkan sebarang tekanan atau perasaan tidak puas hati di kalangan mereka
Sebagai Inovator – mampu melakukan pengubahsuaian strategi dan teknik demi membawa perubahan dalam kehidupan keluarga
Sebagai Penilai – membuat taksiran secara tepat, berkesan dan memuaskan berhubung dengan cara gaya keibubapaan
Tanggungjawab Menyediakan Keperluan Anak-AnakSelain melaksanakan pelbagai peranan, setiap pasangan ibu bapa juga mempunyai pelbagai tanggungjawab terhadap anak-anak yang perlu di pikul secara bersama-sama. Di antaranya termasuklah:
Tempat tinggal yang selesa dan bersih, yang mempunyai cukup ruang pengudaraan serta memiliki bekalan air yang bersih untuk minum dan bersuci.
Makanan dan minuman yang cukup bersih dan berkhasiat
Pakaian yang sesuai, selesa dan bersih
Pendidikan akhlak dan agama yang sempurna
Persekitaran yang dapat menggalakkan pembelajaran secara formal dan tidak formal
Ruang dan peluang untuk bermain dan bergaul dengan rakan sebaya
Ruang dan peluang yang banyak untuk anak memperoleh pendidikan melalui pemilikan alat permainan dan bahan yang boleh merangsangkan pembelajaran.
Tanggungjawab Memberi Kasih SayangBelaian kasih sayang dari kedua ibu bapa amat penting dalam perkembangan emosi dan sahsiah anak-anak. Dengan wujudnya belaian kasih sayang dalam rumahtangga, anak-anak dapat merasakan bahawa kehadiran mereka dihargai.
Memberi keutamaan kepada keluarga
Menumpukan sepenuh kasih sayang kepada anak-anak
Mengamalkan pergaulan yang baik dengan anak-anak di dalam dan di luar rumah
Menunjukkan perlakuan bahawa ibu dan bapa mengasihi dan menyayangi anak-anak
Meluahkan atau menyatakan dengan perkataan kepada anak-anak bahawa ibu dan bapa menyayangi anak-anak
Mengamalkan perasaan kasih sayang sesama ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga, guru-guru dan rakan- rakan.
Tanggungjawab Jaminan KeselamatanSetiap anak-anak adalah terdedah dengan segala bentuk ancaman dan bahaya baik ketika mereka berada di dalam rumah , di luar rumah, di sekolah dan di tempat-tempat permainan. Keupayaan dan kemampuan ibu bapa menyedarkan setiap anak-anak mengenai perlunya menjaga dan mengutamakan keselamatan diri akan dapat membantu ibu bapa memberi jaminan keselamatan kepada anak-anak.
Menyediakan tempat yang selamat untuk anak-anak dan ahli keluarga diami
Melindungi anak-anak dari segala bentuk ancaman dan bahaya baik krtika anak-anak berada di dalam rumah, di luar rumah, di sekolah dan di tempat permainan.
Mewujudkan peraturan-peraturan yang mudah dan jelas untuk mengelak kemalangan dan kecelakaan. Pastikan bahawa peraturan tersebut diamalkan dan dipatuhi oleh setiap ahli keluarga.
Menjelaskan dan menunjuk ajar kepada setiap anak-anak mengenai langkah-langkah menghindari kemalangan dan kecelakaan serta cara-cara menanganinya. Lakukan dan lakonkanlah cara gayanya bersama-sama anak jika perlu.
Mengalakkan anak-anak untuk sentiasa berwaspada atau berhati-hati terhadap oarang yang tidak di kenali atau yang mencurigakan terutamanya ketika tidak bersama-sama ibu bapa atau orang yang lebih dewasa.
Penderaan seksual merupakan gejala sosial yang harus dipandang serius oleh ibubapa masa kini, terutama bagi pasangan ibu bapa yang sama-sama bekerja dan terpaksa meninggalkan anak bersendirian atau diletakkan di bawah pengawasan pengasuh. Ibu bapa juga bertanggungjawab menjamin keselamatan anak dari penderaan seksual serta lain-lain bentuk gejala sosial. Sebagai ibubapa, anda bolehlah;Ajar dan jelaskan kepada setiap anak tentang penderaan seksual supaya mereka
Boleh mengecam tingkahlaku yang boleh menjurus kepada penderaan seksual. Ajar juga kepada mereka bagaimana mengatakan “Tidak”, meminta bantuan dan mengawal diri dari di sentuh orang lain. Beri sokongan terhadap hak anak untuk mengatakan “tidak” terhadap sesuatu tindakan.
Galakkan anak berkomunikasi dengan memberikan perhatian yang serius terhadap percakapan mereka. Beri perhatian terhadap tanda-tanda yang mungkin membawa kepada penderaan seksual dan hapuskan kerahsiaan di antara anda dengan anak-anak anda.
Ingatkan setiap anak-anak bahawa orang yang “ baik” boleh berniat jahat terhadap mereka sendiri dan galakkan anak-anak untuk memberitahu anda mengenai orang yang mereka tidak selesa dampingi.
Gangguan seksual yang paling lazim dalam sesebuah keluarga ialah di antara anak-anak kecil dengan anak-anak kecil dan anak-anak remaja berlainan jantina. Kerap kali ibu bapa lalai mengenainya. Elakkan anak-anak mandi dan tidur bersama-sama tanpa pengawasan kerana ianya memungkinkan terjadinya hubungan seksual di antara mereka.
Tunjukkan tingkahlaku melindungi diri yang boleh menyakinkan anak-anak dan sedari serta fahami batasan tingkahlaku anda sendiri.
Membiarkan anak-anak menonton video tanpa pengawasan ibubapa atau orang yang lebih dewasa boleh memungkinkan mereka menyalahgunakan kemudahan tersebut bagi menonton bahan-bahan lucah. Pendedahan terhadap bahan-bahan seperti ini akan menjurus kepada pelbagai bentuk gejala sosial. Awasilah bahan yang ditonton oleh anak-anak dan tontonlah bersama-sama mereka.
Batasan masa dan kewangan keluarga kadangkala menjurus kepada tindakan meninggalkan anak-anak bersendirian di rumah tanpa pengawasan orang yang lebih dewasa. Jika keadaan sebegini tidak dapt dielakkan, ibubapa bolehlah memastikan keselamatan anak-anak di rumah melalui telefon.
Tanggungjawab Megimbangi Harapan AnakSeperti orang dewasa, setiap anak-anak memiliki hati dan perasaan yang mana ianya mudah tersinggung akibat daripada tindakan orang di sekeliling mereka, terutamanya dari ibu dan bapa mereka. Dalam usaha untuk memenuhi cita-cita, kamahuan dan harapan diri mereka sendiri, mereka perlu juga memenuhi cita-cita, kemahuan dan harapan kedua-dua orang tua mereka. Ibu bapa boleh membantu anak-anak mengimbangi harapan tersebut dengan cara:-
Menyatakan dengan jelas kepada anak-anak akan harapan ibu bapa terhadap anak-anak
Meletakkan harapan atau ekspektasi yang bersesuaian dengan keupayaan dan kemampuan anak
Memberi pujian terhadap setiap kejayaan anak
Memberi galakan terhadap usaha-usaha anak untuk berjaya
Mengurangkan tekanan ke atas anak-anak, terutamanya untuk berjaya di dalam pembelajaran mereka.
Tidak membandingkan kebolehan anak dengan adik beradiknya, saudara maranya atau anak jiran tetangga kerana setiap individu adalah berbeza dari segi kognitif, afektif, psikomotor dan sosialnya.
Tidak menjadikan anak-anak sebagai bahan saingan ibubapa
Kesimpulannya ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang begitu besar terhadap anak-anak. Begitu juga kasih sayang ibu bapa tidak boleh di tukar ganti dengan orang atau benda lain. Anak-anak di lahirkan dari ikatan perkahwinan yang penuh dengan komitmen dan tanggungjawab.

PERANAN IBU BAPA DALAM MENINGKATKAN POTENSI ANAK-ANAK

Memanglah menjadi hasrat setiap pasangan ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka berjaya dalam hidup. Mereka ingin melihat tiap seorang daripada anak mereka mencapai kesejahteraan dari segi fizikal, mental, sosial dan juga rohaniah. Mereka sentiasa memikirkan masa depan zuriat mereka. Ini adalah satu jihad.Dalam satu hadis , rasulullah s.a.w bersabda , yang bermaksud : "seorang anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah dan ibu bapanyalah yang mencorakkan sama ada ia menjadi seorang Yahudi , Nasrani , atau Majusi ". Apabila membincangkan soal untuk mempertingkatkan potensi intelek seseorang kanak -kanak , aspek -aspek lain seperti perkembangan fizikal , sosialnya ,dan rohaniahnya tidak boleh diketepikan. Perkembangan dalam satu bidang akan mempergaruhi perkembangan dalam bidang yang lain. Umpamanya , perkembangan aspek komunikasi yanng optimum akan mempertingkatkan kemahiran sosial si anak. Ini kemudiannya akan mempengaruhi kemahiran inteleknya , meningkatkan daya kreatif dan menonjolkan bakat semulajadi yang diwarisi dari ibu bapa atau nenek moyangnya. Peranan ibu bapa dalam usaha untuk mempertingkatkan potensi anak mereka boleh diwujudkan melalui konsep keibu - bapaan berkesan atau effective parenting. Konsep ini bertujuan untuk mencorakkan perwatakan atau personaliti si anak itu supaya ciri -ciri tingkah laku yang ditunjukkanya adalah baik dan sesuai dengan kehendak ibu bapa, keluarga , masyarakat dan negara .Ibu bapa merupakan sebaik -baik contoh kepada anak -anak. Mereka perlu sentiasa menarik perhatian anak mereka kepada perwatakan dan tingkah laku yang baik agar si anak dapat menjiwakannya. Dasar kependudukan baru negara menekankan kewujudkan satu generasi yang sihat , dinamik , produktif serta mempunyai nilai -nilai hidup dan moral yang tinggi. Negara memerlukan tenaga kerja yang mahir dan berfikiran positif. Ibu bapa mestilah mempunyai pengetahuan tentang perkembangan kanak -kanak , strategi pendidikan dan strategi pengubahsuaian tingkah laku supaya dapat mempengaruhi dan mencorakkan perkembangan anak mereka sepertimana yang di cita -citakan. Faktor -faktor yang mempengaruhi perkembangan dan tingkah laku seseorang kanak -kanak itu bolehlah dibahagikan kepada dua , iaitu faktor persekitaran luar dan faktor dalam diri si anak itu sendiri. Persekitaran luar merangkumi suasana di mana si anak diasuh dan berkait rapat dengan faktor -faktor seperti taraf sosioekonomi , budaya serta hubungan dengan adik -beradik serta kawan -kawan di sekelilingnya , peralatan di rumah atau di sekolah dan media massa. Faktor dalam diri sendiri termasuklah taraf kesihatan , taraf pemakanan pengamatan atau persepsinya terhadap dunia luar , pengamatan terhadap diri sendiri (sama ada dia berasa rendah diri atau sebaliknya ) , dan ciri -ciri serta bakat semula jadinya yang sedikit sebanyak terdapat dalam baka yang diwarisinya . Setiap komponen yang memain peranan dalam mempengaruhi perkembangan dan tingkah laku seseorang kanak -kanak itu perlu difahami oleh ibu bapa. Mereka perlulah bijak mengenal pasti ciri -ciri kekuatan yang ada pada anak mereka di samping menumpukan perhatian pada sebarang kelemahan yang ada pada seseorang kanak -kanak itu boleh diatasi atau sekurang -kurangnya diperbaiki dengan menggunakan strategi -strategi tertentu. Kekuatan atau bakat yang dikenal pasti boleh dipupuk dan dipertingkatkan lagi dengan memberi galakan serta peluang untuk si anak itu meningkatkan potensinya . Setiap pemgalaman yang memberinya kepuasan dan kejayaan akan menambahkan lagi perasaan yakin pada diri sendiri dan ini pula akan memberinya lebih kekuatan untuk berhadapan dengan cabaran -cabaran baru yang bakal menguji daya inteleknya . Keupayaan intelek (intellectual capacity ) seseorang itu adalah kurniaan Allah s.w.t yang tiada siapa boleh memahami. Kebiasaannya , kita hanya boleh menilai kebolehan atau prestasi seseorang itu pada sesuatu ketika sahaja. Manusia sentiasa berubah dari segi kebolehan , tingkah laku dan sikap. Perubahan - perubahan ini adalah akibat pengaruh -pengaruhi luar , pengaruh -pengaruh dalam dirinya atau perasaannya pada peringkat trimester kedua kehamilan sehingga dua tahun selepas kelahiran. Pertumbuhan otak berkembang pesat pada waktu ini. Bayi yang baru lahir hanya tidur , bangun untuk menyusu dan mula mengenal persekitarannya melalui deria-deria yang dimilikinya. Daya pemikirannya meningkat dengan peredaran masa dan pada usia tiga tahun dia sudah boleh berlari, melompat, bercakap menggunakan ayat yang penuh, bergaul mesra dengan rakan sebaya dan makan minum serta memakai baju tanpa pertolongan orang lain. Perasaan ingin tahu sangat ketara ini dan dia bertubi-tubi mengemukakan pelbagai soalan kepada ibu bapanya dan sesiapa sahaja yang rapat dengannya bagi memenuhi kehausan pengetahuan pada dirinya.
Jika hakikat imi disedari, maka mudahlah difahami mengapa penjagaan yang rapi dan perhatian yang secukupnya harus diberikan daripada peringkat janin lagi untuk memastikan pertumbuhan dan perkembangan bayi yang optimum. Kesihatan ibu yang hamil adalah suatu aspek penting yang perlu diberikan perhatian serius. Ibu hamil yang menghidap penyakit atau mengamalkan tabiat hidup yang moden mengancam kesihatan seperti merokok, meminum arak, mengambil dadah atau ubat-ubatan yang dicegah dan juga mereka yang terdedah kepada unsur sinar-X boleh menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan janin yang didalam kandungan. Demikian juga halnya dengan bayi yang dilahirkan secara kecemasan. Kekurangan bekalan oksigen ke bahagian otak-nya atau serangan penyakit yang boleh merosakkan otaknya akan menjejaskan perkembangan dan pertumbuhannya. Amalan -amalan yang sihat yang boleh mempertingkatkan kesihatan ibu hamil perlu diberikan perhatian. Di negara kita , kadar kematian di kalangan bayi akibat keadaan -keadaan yang sepatutnya boleh dicegah masih lagi berada di tahap yang tinggi. Ini tidak seharusnya berlaju memandangkan teknologi untuk mencegah atau merawat penyakit -penyakit ini telah ada dan mudah pula di dapati.
Pengawasan terhadap perkembangan dan pertumbuhan bayi selepas lahir dari semasa ke semasa adalah penting kerana ini merupakan satu -satunya cara untuk mengenal pasti sebarang keadaan yang luar dari kebiasaan. Walaupun kerajaan telah menyediakan program - program bagi mengawasi perkembangan kanak -kanak , usaha -usaha ini tidak akan berjaya tanpa kesedaran pihak ibu bapa tentang peranan mereka dalam mengawasi perkembangan dan tumbesaran anak mereka. Kunci kepada perkembangan dan tumbesaran yang optimum seseorang kanak -kanak itu ialah taraf kesihatan yang tinggi tanpa sebarang kecacatan atau penyakit yang serius. Andainya seseorang anak itu pekak atau buta ibu bapa haruslah bijak mengenal pasti kekuatan dan kelemahan sianak itu dan mengetahui strategi-strategi berkesan yang boleh digunakan untuk memaksimumkan potensi anak mereka.
Anak yang menghidap penyakit perlulah mendapat rawatan segera agar doktor dapat mengenal pasti penyakit tersebut diperingkat awal serangannya dan mencarikan ubat yang sesuai. Usaha-usaha untuk mempertingkat ketahanan diri sianak supaya tidak selalu diserang penyakit juga perlu dijalankan.
Amalan, sikap san nilai-nilai yang ada pada ibu bapa banyak dipengaruhi oleh orang tua mereka sendiri. Mereka harus memikirkan sama ada ciri-ciri ini sesuai dengan keadaan, masa dan juga sifat-sifat yang terdapat pada anak mereka. Umpamanya, mendisiplinkan anak dengan cara merotan mempunyai kesan yang negatif terhadap anak itu. Sebaliknya, banyak kaedah positif lain yang boleh meningkatkan daya pemikiran dan kematangan sosial sianak. Caragayanya keibubapaan sudah semestinyalah sedikit sebanyak akan mempengaruhi seseorang anak apabila dewasa dan seterusnya menjadi ibu atau bapa pula. Kajian menunjukkan bahawa ramai ibu bapa yang sewaktu kecilnya menjadi mangsa penganiayaan orang tua mereka cenderung untuk menganiayai anak-anak mereka sendiri.
Keperluan dan citarasa seorang kanak-kanak berubah dari semasa ke semasa. Umpamanya, jenis makanan yang digemarinya akan berubah-ubah mengikut seleranya. Corak pakaian, permainan dan cara berkomunikasi dengannya juga perlu diubahsuai mengikut kematangan fikirannya. Tingkah lakunya sering berubah-ubah.Tabiat yang dianggap lazim pada satu peringkat usia mungkin tidak manis atau tidak lagi sesuai apabila umur meningkat. Umpamanya, tabiat menghisap jari biasanya akan hilang dengan sendirinya bagi kebanyakan kanak-kanak tetapi jika ia berterusan sehingga usia enam tahun keatas, ini mungkin ada kaitannya dengan suasana yang kurang selesa baginya. Ibu bapa boleh menolong mengikis tabiat anak yang kurang manis jika mereka mengetahui asas kelakuan yang ditunjukkan serta kaedah modifikasi tingkahlaku.
Kanak-kanak yang baru memulakan persekolahan dalam tahun satu mempamerkan berbagai-bagai corak perwatakan. Seseorang guru yang cekap memerhatikan tingkah laku anak-anak muridnya boleh mengagak sama ada suasana dimana kanak-kanak itu dibesarkan merupakan suasana yang baik dengan segala keperluannya dipenuhi atau sama ada kanak-kanak itu datang dari kalangan keluarga yang kurang sejahtera, serba kekurangan dan kerap tidak dapat memenuhi keperluannya.
Mendisiplinkan anak adalah satu proses yang berterusan. Setiap detik dalam kehidupan anak itu merupakan satu pengalaman. Oleh itu, perwatakannya dari semasa akan terbentuk daripada setiap pengalaman yang bermula dari dalam rahim ibunya dan berterusan sehingga akhir hayatnya. Oleh itu , ibu bapa memain peranan untuk memastikan agar anak mereka sering didedahkan kepada pengalaman - pengalaman positif yang meninggalkan kenangan -kenangan manis kepadanya supaya dia dapat menyedari bakat yang ada padanya dan berbangga terhadap setiap pencapaiannya.
Kanak -kanak tidak sunyi daripada dilanda perasaan hiba , sama ada di sebabkan kehilangan orang yang disayanginya atau penyakit yang memerlukan rawatan di hospital dan berbagai -bagai lagi peristiwa yang menyedihkan. Tetapi , melalui belaian kasih dan cara berkomunikasi yang berkesan , pengalaman - pengalaman sedih ini boleh meneguhkan iman dan perwatakannya. Pengalaman -pengalaman ini merupakan detik peristiwa yang boleh memberikan pedoman dan pengajaran yang berguna dalam hidupnya. Umpamanya , kanak -kanak yang kematian ayahnya akibat kemalangan boleh dibantu jika ibu , datuk ,nenek dan saudara mara terdekat mencurahkan kasih sayang dan perhatian serta memberi nasihat - nasihat dan pandangan -pandangan positif yang boleh menolong mencorakkan personalitinya. Dia mungkin akan menjadi lebih cekal dan berfikiran lebih matang jika dibandingkan dengan kanak -kanak lain yang belum pernah mengalami situasi yang sebegitu mencabar. Sebaliknya , jika si anak tidak mendapat sokongan emosi dan perhatian yang amat -amat diperlukan , kesedihannya mungkin akan berlanjutan dan akan menjejaskan perkembangan sosial dan inteleknya.
Kanak -kanak pekak , buta , yang cacat anggota atau yang mempunyai masalah perubatan seperti sawan memerlukan kemahiran keibubapaan yang khusus. Ibu bapa yang terlibat perlu mengorbankan masa mereka untuk menjalani latihan -latihan dan membelanjakan wang ringgit untuk mendapatkan keperluan keperluan seperti alat pendengaran , cermin mata rawatan perubatan atau terapi. Malah , mereka mungkin perlu peka terhadap kemajuan - kemajuan dalam teknologi pendidikan khas (special aducation ) melalui majalah - majalah , buku -buku serta latihan - latihan khas untuk melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan -pengetahuan yang boleh digunakan bagi melatih anak mereka. Ibu bapa juga perlu tahu tentang perkhidmatan untuk kanak -kanak cacat sama ada yang ditawarkan oleh badan -badan kerajaan , swasta atau pertubuhan -pertubuhan sukarela. Kadangkala , ada baiknya ibu bapa sendiri menganggotai organisasi -organisasi yang menyediakan perkhidmatan -perkhidmatan khas untuk kanak -kanak cacat dan yang bermasalah agar mereka dapat berhubung dengan pihak -pihak yang berkenaan yang boleh mengaturkan keperluan -keperluan khas untuk anak -anak mereka.
Rumusan
Untuk mempertingkatkan potensi anak -anak , ibu bapa perlu mempunyai sikap dan amalan positif serta pengetahuan yang boleh membantu mempengaruhi perkembangan anak mereka dengan lebih mendalam lagi terutamanya dari segi kekuatan dan bakat semula jadi yang dimilikinya. Dengan ini , ciri -ciri positif myang dimiliki oleh anak mereka dapat di pupuk dan dirangsang untuk mencapai kecemerlangan.

PERANAN IBU BAPA DALAM MENANGANI GEJALA SOSIAL

Muslimin yang berbahagia,
Bertaqwalah kepada Allah dengan melakukan segala suruhan-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya, mudah-mudahan kita beroleh kejayaan di dunia dan mendapat kebahagiaan dan keredhaan di akhirat.
Kelahiran anak kepada suami isteri merupakan suatu yang dinantikan, menjadi sumber kebahagiaan dan pengikat kasih sayang di antara suami dan isteri. Oleh yang demikian kelahiran mereka disambut dengan penuh kegembiaan, kebanggaan dan kesyukuran terhadap kurniaan Allah S.W.T itu. Melalui kasih sayang yang dimasukkan oleh Allah S.W.T ke dalam lubuk hati kedua-dua ibu bapa menjadikan mereka sanggup berkorban apa sahaja dengan harapan dan cita-cita yang amat tinggi untuk melihat anak-anak berjaya, berilmu dan berakhlak atau dalam ertikata lain menjadi insan yang soleh.
Anaka-anak adalah suatu amanah Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu menjadi kewajipan terhadap ibu bapa, penjaga agar memelihara mereka. Bukan sahaja memberi mereka makan dan minum, pakaian, kasih sayang, tetapi yang lebih penting lagi ialah memberi pendidikan dan ilmu pengetahuan. Melalui pendidikan ilmu dan juga akhlak yang mulia kepada anak-anak Insya Allah kelak mereka itu akan menjadi anggota masyarakat Islam yang beriman dan sentiasa bertaqwa kepada Allah S.W.T. Cita-cita dan harapan tersebut tidak akan menjadi kenyataan sekiranya ibu bapa jahil dengan peranan ini. Apatah lagi gagal menjadikan diri ibu bapa itu sendiri sebagai seorang muslimin atau muslimat yang beriman dan bertaqwa kepada Allah S.W.T. Ibu bapa hendaklah terlebih dahulu menjadikan dirinya masing-masing sebagai contoh teladan yang baik dalam semua segi kepada anak-anak.
Kaum muslimin yang berbahagia,
Islam telah menyediakan prinsip panduan kepada ibu bapa atau pendidik. Iaitu mengutamakan didikan akidah dan keimanan kepada anak-anak. Menanamkan keyakinan yang mendalam ke dalam hati dan pemikiran mereka agar dengan demikian akan menjadi perisai dan pengawal daripada mereka itu tercebur dengan gejala-gejala yang tidak sihat dan menyalahi hukum syarak. Hanya melalui didikan iman dan Islam, satu-satunya jalan yang akan meletakkan manusia kepada keredhaan dan pemeliharaan Allah di dunia dan di akhirat. Adapun jalan yang lain tidak mampu membawa kita kepada Allah dan keredhaan-Nya, malah menghantarkan kita kepada kesesatan dan penderitaan.Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
" Inilah agama (islam) yang benar, yang lain adalah sesat, kerana jalan inilah satu-satunya menyampaikan kepada Allah dan syurga dan jalan yang lain adalah jalan kesesatan dan menuju kepada neraka. "
Kaum muslimin yang berbahagia,
Kepentingan akidah kepada anak-anak dapat dilihat di mana Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya menyambut kedatangan bayi yang baru dilahirkan dengan seruan azan dan iqamah supaya suara yang menyusuk masuk melalui telinga bayi itu akan menembus hati nuraninya dengan kelimah-kalimah tauhid dan kalimah yang mengagongkan Allah S.W.T, saranan ini telah disebut di dalam suatu hadith riwayat al-Hakim. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
" Bukakanlah hati anak-anak kamu dengan ucapan kalimah yang pertama sekali iaitu dengan kalimah "Tidak ada tuhan yang lain melainkan Allah." "
Para pendidik dikehendaki mengulang-ulang ajaran kalimah ini, makna dan falsafahnya agak benar-benar masuk ke dalam jiwa anak-anak mentaati Allah S.W.T dan membiasakan diri dengan akhlak yang mulia. Seperti mana sabda Rasulullah s.a.w melalui hadithnya yang dikeluarkan oleh Ibnu Jarir daripada Ibnu Abbas yang bermaksud:
" Ajarlah anak-anak kamu untuk taatkan Allah dan takut kepada maksiat dan suruhlah anak-anak kamu melakukan apa yang disuruh oleh Allah serta menjauhi segala larangan-Nya, maka yang demikian itu akan memelihara mereka dan memelihara kamu daripada neraka."
Berdasarkan hadith di atas jelas kepada kita betapa besarnya peranan ibu bapa dalam mempastikan agar anak-anak mereka menjadi anak-anak yang soleh dan terpelihara daripada segala kemaksiatan. Anak-anak yang terdidik dengan ajaran agama yang cukup akan merasa malu untuk melakukan kemungkaran, akan merasa malu untuk berkhayal dan berpoya-poya. Hidup mereka akan terselamat dan tidak akan terdedah kepada fitnah keruntuhan moral dan akhlak yang bakal mendatangkan pelbagai penyakit masyarakat. Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 28 bermaksud:
" Dan ketahuilah bahawa hartabenada kamu dan anak-anak kamu itu adalah menjadi ujian dalam kehidupan kamu, sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar. "
Kaum muslimin yang berbahagia,
Semua nilai pendidik, asuhan dan pelajaran tidak akan dapat membina anak-anak sekiranya ibu bapa tidak sama-sama berusaha memperteguh dan membuktikan keunggulan nilai-nilai itu ketika anak-anak itu bersama-sama di rumah dan berada di dalam masyarakat. Keadaan akan bertambah buruk lagi sekiranya kebiasaan yang berlaku dalam kehidupan keluarga mereka dan masyarakat amat bertentangan sama sekali dengan nilai-nilai terpuji dan baik yang mereka peroleh melalui pelajaran mereka di sekolah-sekolah.
Mereka pelajari di sekolah, lain dari apa yang mereka lihat dan diamalkan oleh ibu bapa mereka di rumah, inilah apa yang dikatakan tindak-tanduk ibu bapa dan masyarakat itu tidak dapat menteladani anak-anak.
Dalam pelajaran mereka dapati bahawa pembohong, penipu, rasuah, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa, sombong, bengis, pemabuk, penjudi adalah bentuk-bentuk sifat yang membawa nilai-nilai manusia itu sama dengan haiwan yang ganas, tetapi bagaimana kalau sifat-sifat itu semua mereka dapat lihat pada amalan ibu bapa mereka sendiri, mahupun juga kepada pimpinan yang mereka hormati?..
Inilah peranan pendidikan dan kesannya terhadap anak-anak dan generasi muda dewasa ini. Mereka belajar dari apa yang mereka lihat dan mereka bejlajar dari apa yang mereka dengar dan fenomena inilah yang akan mendidik mereka. Oleh itu seseorang yang digelar ibu bapa, guru, juga pemimpin yang pada mereka dan diri mereka itu dicontohi dan diteladani, tidak seharusnya "double standard" dalam apa juga bentuk dan tindakan mereka seharian. Dalam sekolah anak-anak diperingatkan tentang disiplin dan moral tetapi pada ketika yang lain di luar sekolah, di padang mainan, di pusat membeli-belah, di rumah dan di media massa. Mereka pula melihat sesuatu yang bertentangan dari apa yang mereka pelajari. Jadi keadaan yang membingungkan inilah yang menjejaskan pendidikan itu sendiri. Sebab itulah tidak semestinya setiap anak yang berpelajaran, yang tinggi akamediknya, akan mempunyai jiwa yang terdidik.
Kalau sekiranya fenomena ini masih diamalkan serta akan terus berlaku dalam masyarakat kini, maka selama itulah proses pendidikan sebenarnya tidak akan berkesan dalam erti kata yang sewajarnya. Ketika itu kita semua tidak seharusnya kesal terhadap keruntuhan akhlak yang makin menjadi-jadi pada generasi muda. Keruntuhan akhlak anak-anak adalah mencerminkan kepada keruntuhan didikan ibu bapa, guru-guru, pemimpin dan masyarakat Islam seluruhnya. Inilah apa yang disabdakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
" Setiap anak itu dilahirkan dengan keadaan bersih, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi. "
Kaum muslimin yang berbahagia,
Sebagai sebuah keluarga Islam, pergaulan ibu bapa dengan anak-anak di rumah, hormat menghormati, setia kasih sayang itu hendaklah berasaskan kepada cara Islam kerana hormat menghormati serta kasih sayang itu tidak tercapai tanpa berlandaskan keredhaan Ilahi. Seorang ibu atau bapa tidak seharusnya terlalu bertoleransi kepada anak-anak mereka sehingga menjadikan anak-anak itu manja untuk melakukan apa sahaja termasuklah melakukan kemaksiatan kepada Allah. Sabda Rasulullah s.a.w:
" Muliakan anak-anak kamu dan perindahkanlah akhlak mereka. "
Memuliakan anak-anak bukan bermakna memanjakan tetapi memberikannya persediaan pendidikan yang baik, memperelokkan pekertinya dan memperteguhkan agamanya. Anak-anak yang terlatih atau terdidik dalam memuliakan ibu bapanya akan mewarisi anak-anak yang bakal memuliakannya di kemudian hari kelak. Itulah apa yang dimaksudkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w dalam sabdanya yang bermaksud:
" Hormat dan lakukanlah kebajikan kepada ibu bapa kamu, nescaya kamu akan beroleh kebajikan dan dihormati pula oleh anak-anak kamu. "
Kaum muslimin yang berbahagia,
Antara faktor terbesar yang menyebabkan lemahnya peranan ibu bapa dalam menangani masalah sosial di kalangan anak-anak mereka ialah komunikasi yang terhalang akibat putusnya silaturrahim di antara mereka. Perhubungan kasih sayang, mesra, hormat menghormati, belas kasihan, saling membantu, membimbing, yang disebut sebagai silaturrahim ini sangat penting dalam keluarga.
Silaturrahim yang baik antara anak-anak dan ibu bapa akan dapat membantu perkembangan intelektual, emosi, jasmani, rohani dan sosial seseorang anak khususnya anak-anak yang menjangkau usia remaja. Di sekolah, guru yang paling penyayang tetapi tegas, adil dan mesra akan menjadi buah mulut pelajar dan sangat disanjung serta disayangi. Apatah lagi jika ibu bapa mereka ketika menghayati perhubungan yang sempurna dengan ibu bapa mereka ketika berada di rumah.
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan terputusnya silaturrahim di antara anak-anak dengan ibu bapa mereka antaranya:
1. Ibu bapa tidak menunjukkan sikap mengambil berat terhadap pencapaian anak-anak dalam pelajaran dan menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada guru. Akibatnya anak-anak tidak memahami harapan ibu bapa terhadap diri mereka.
2. Terdapatnya konflik dalam keluarga. Kedua ibu bapa tidak bersefahaman dan sehaluan di rumah. Akibatnya anak-anak lebih gemar mendampingi rakan sebaya.
3. Sistem nilai yang salah di mana terdapat anak-anak yang malu terhadap pendapatan ibu bapa yang rendah. Akibatnya mereka malu ke sekolah kerana gagal membayar yuran, berbelanja, berpakaian kemas dan sebagainya.
4. Salah laku ibu bapa yang kemudiannya menjadi contoh anak-anak. Akibatnya anak-anak terkeliru dalam membezakan perkara positif dan negatif.
5. Ibu bapa tidak prihatin kepada aktiviti-aktiviti sekolah umpamanya ibu bapa tidak tahu aktiviti sekolah sehingga mereka tertipu oleh anak-anak.
6. Ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak yang akibatnya menyebabkan anak merasa megah dan angkuh.
Banyak cara ibu bapa dapat mengubah sikap dalam usaha menjalin silaturrahim yang harmoni dengan anak-anak, yang antaranya ialah dengan membuat kajian peribadi terhadap 6 fakta yang tersebut tadi. Walau bagaimanapun, ibu bapa tidak dapat dipersalahkan sepenuhnya kerana sebagai manusia biasa, setiap orang banyak kelemahan. Dalam pada itu, mereka harus prihatin akan kesan negatif yang bakal mengekori nasib anak-anak jika tidak mengambil tindakan segera dari sekarang.Firman Allah bermaksud:
" Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikanmu bagi mengingati Allah dan ingatlah barang siapa yang berbuat demikian mereka itu adalah orang-orang yang rugi.(Surah al-Munafikun:9) "
Kaum muslimin yang berbahagia,
Untuk menjadi seorang muslim yang beretika dan berakhlak maka faktor disiplin amat ditekankan oleh Islam. Pelajar remaja mesti diberikan rasa "takut" kepada tindakan yang keras kerana kajian telah membuktikan dengan adanya perasaan "takut" akan mendorong remaja atau pelajar kembali mencari jalan untuk berbuat kebaikan. Syariat Islam sendiri dalam beberapa keadaan telah menggunakan pendekatan "Hukuman" dengan tujuan untuk mendidik manusia. Ajaran Islam misalnya, mengesyorkan supaya anak-anak yang tidak bersembahyang supaya dipukul untuk memberi didikan.
Malah pada hari kiamat, manusia akan menerima ganjaran atas perilaku dan perbuatan baiknya di dunia. Di sebalik "neraka" adalah hukuman terakhir bagi mereka yang berdosa kerana tidak melakukan kebaikan berdasarkan ajaran Allah Yang Maha Suci.
Kesimpulannya, marilah sama-sama kita mengembling tenaga dengan semaksimun mungkin untuk menangani masalah yang Allah Taala hadapkan kepada kita kini. Jadikanlah tugas menyeru kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran sebagai tugas hakiki bagi setiap muslim yang mengaku beriman dan tunduk kepada Allah. Bukannya tugas atau tanggungjawab bermusim, yang hanya bersemangat bila isunya dipanaskan. Tetapi apabila isu gejala sosial ini menjadi reda dan "lapuk" maka semangat dan tanggungjawab kita pun turut lesu dan kendur, lalu kembalilah semula umat Islam dalam kelalaian dan keasyikan duniawi. Ingatlah ketika mana Allah berfirman yang bermaksud:
" Dan takutlah fitnah (bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang melakukan kezaliman di kalangan kamu dan ketahuilah sesungguhnya azab Allah itu amatlah pedih. (Surah al-Anfal:8) "

PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBENTUK GENERASI BERILMU DAN BERAKHLAK KE ARAH KECEMERLANGAN DI DUNIA DAN AKHIRAT

Peranan Ibu Bapa Dalam Membentuk Generasi Berilmu dan Berakhlak ke arah Kecemerlangan di Dunia dan di Akhirat

MUQADDIMAH
Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa adalah agen utama dan yang pertama mesti memainkan peranan melaksanakan tanggung jawab mengasuh, mendidik mengajar serta membimbing anak-anak mereka untuk menjadi pewaris pelapis kepada generasi yang cemerlang ilmu dan akhlaknya di dunia dan di akhirat. Sekaligus membentuk anak-anak yang bukan sahaja boleh dijadikan cermin generasi tetapi juga sebagai pejuang kepada amar makruf dan nahi mungkar, bahkan sebagai khalifah di muka bumi ini sekaligus sebagai ulamak pewaris para nabi.
Kelalaian, kelemahan, kesilapan atau kesalahan ibu bapa dalam mentarbiah anak-anak mereka adalah saham terbesar dalam menambahkan lagi jumlah generasi pincang, bermasalah, terpesong, sampah mesyarakat, musuh negara serta perosak agama. Maka pengetahuan ibu bapa dalam kaedah mentarbiah anak-anak perlu dipertingkatkan sesuai dengan kemajuan dan kemodernan dunia yang serba canggih, dengan mengumpul, mendalami serta mempraktikkan segala maklumat terkini yang sesuai untuk diterapkan dalam agenda memantapkan syaksiah diri lalu cuba menterjemahkannya dalam agenda pendidikan anak-anak.
Ibu bapa yang jumud dalam kekolotan akan terus menghadapi masalah kekalutan dan kemelut dalam menghadapi ledakan arus permodernan yang akan menyebabkan mereka dipandang remeh, bahkan dianggap sebagai penghalang kepada kebebasan anak-anak mereka yang mergelumang dengan berbagai ledakan budaya songsang yang mereka anggap sebagai aliran peredaran zaman yang patut diikuti dan dicontohi. Kegagalan ibu bapa dalam memperlengkapkan diri dengan elemen-elemen yang sepatutnya ada pada diri ibu bapa cemerlang adalah sebagai punca sebenar kegagalan membentuk generasi yang bukan sahaja berilmu bahkan berakhlak mulia. Pendek kata ibu bapa harus menjadi cermin, ikutan, contoh teladan yang baik kepada anak- anak mereka dalam segenap segi. Hanya ibu bapa yang benar-benar cemerlang dunia akhiratnya sahaja yang layak mengimpikan anak-anak yang cemerlang ilmu dan akhlaknya. Maka sentiasalah berusaha dan berdoa untuk menjadi ibu bapa cemerlang seiring dengan usaha membentuk generasi yang cemerlang.

PERANAN IBU BAPA
Peranan bermakna satu kewajiban melaksanakan tugas dan tanggung jawab yang dipikul sebagai amanah yang mana hasilnya yang manis akan kita kecapi sebagai ganjaran kepada kejayaan kita. Manakala hasilnya yang pahit akan kita kecapi dan kita telan sebagai bukti kegagalan kita sendiri.
Peranan ibu bapa dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat, tidak terbatas dalam lingkungan rumah tangga semata-mata, sedangkan di luar rumah, kita serahkan bulat-bulat kepada peranan orang lain, sedangkan dalam masa yang sama kita akan marah kalau anak kita dimarahi atau ditegur kesalahannya oleh orang lain. Tetapi peranan ibu bapa itu bukan sahaja harus dimainkan terhadap anak mereka sendiri semasa di dalam rumah dan di luar rumah malah terhadap anak-anak jiran, rakan, hingga kepada sesiapa sahaja, sesuai dengan firman Allah yang terdapat dalam Suratul 'Asr yang sering kita baca, iaitu berpesan-pesan kepada (melakukan) kebenaran dan berpesan-pesan kepada (mengamalkan) sifat kesabaran, sebagai bukti kita orang yang beriman dan beramal soleh, golongan manusia yang beruntung. Manakala manusia yang bersikap sebaliknya adalah golongan orang yang rugi. Sebenarnya agenda mentarbiah anak itu bermula sejak dari proses mencari jodoh, proses persenyawaan berlaku hinggalah kepada anak itu mampu berdikari bahkan sehingga anak kita itu dijemput kembali kepada Allah.
Semasa nak-anak masih dalam lingkungan usia yang belum layak dihantar untuk mengikuti pendidikan formal dikelas-kelas TADIKA, TABIKA atau TASKI, maka ketika itu ibu bapa adalah segala-galanya buat mereka. Ibu bapa adalah guru kepada mereka dalam pendidikan informal dalam institusi keluatga, yang mana anak-anak mendapat pendidikan dari ibu bapa mereka secara lisanul hal (praktik) dan lisanul maqal (teori) sebagai ikutan dan contoh teladan kepada mereka. Bahkan sekalipun mereka telah mendapat pendidikan formal dari guru dalam institusi persekolahan, ibu bapa masih tetap berperanan sebagai pemegang saham terbesar dalam memainkan peranan mentarbiah anak-anak mereka.
Ibu bapa bertanggung jawab meluntur anak-anak mereka sejak mereka masih rebung supaya senang dibentuk sesuai dengan kecemerlangan yang diidam-idamkan. Kalau kita gagal meluntur buluh dari rebungnya, maka kita akan berhadapan dengan risiko yang semakin rumit untuk melenturnya. Dalam hal ini Pepatah Melayu ada mengingatkan kita "MELENTUR BULUH BIAR DARI REBUNGNYA" maknanya, mendidik anak itu biar dari masa kecilnya, kerana anak-anak yang dilahirkan itu bagaikan kain putih, maka terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorak-warnakannya mengikut kemahuan mereka. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud : "Setiap bayi yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih/Islam), maka ibu bapanyalah (yang berperanan) menjadikannya (samada) Yahudi, Nasrani atau Majusi".
Maknanya kalau anak kita (muslim) berperangai seperti orang (kafir) Yahudi atau Nasrani atau Majusi, itu adalah bukti kegagalan kita mengislamkan perangai mereka. Jika anak-anak kita mengagong-agongkan budaya negatif dari barat seperti "rock","punk" menagih dadah, pergaulan bebas dan lain-lain, itu membuktikan kita gagal menerapkan ajaran suci Islam dalam diri mereka, mungkin juga dalam diri kita sendiri.

ANAK-ANAK TERLANJUR MENJADI BULUH, BESI ATAU BATU
Jika kita terbukti gagal mendidik anak semasa rebungnya, kita sebenarnya mendedahkan diri kita kepada risiko yang rumit untuk membentuknya. Walau bagaimanapun peranan kita sebagai ibu bapa masih tetap wajib dilaksanakan. Untuk melentur buluh kita terpaksa menggunakan api untuk melembutkannya, pun begitu silap langkah, buluh akan pecah atau patah, jadi kita harus berhati-hati. Perkara ini perlu kepada kemahiran dan pengalaman serta maklumat yang luas untuk melihat hasilnya yang memuaskan. Kalau anak telah terlanjur menjadi besi, untuk melembutkannya, mencairkannya dan membentuknya semula menjadi semakin rumit. Kita terpaksa menggunakan api yang berkuasa tinggi untuk meleburkannya baru dapat membentuknya semula, sekali lagi kita perlu mempunyai kemahiran dan pengalaman yang tinggi.
Kalau anak telah keras menjadi batu, berhati batu, kepala batu, telinga batu, kita terpaksa melembutkannya dengan menggunakan air atau terpaksa menggunakan berbagai alat untuk membentuknya, atau kita terpaksa menghancurkannya menjadi serbuk baru boleh membentuknya semula. Ini sudah tentu lebih rumit, sekali lagi mahu tidak mahu kita perlu sentiasa menambahkan kemahiran dan pengalaman.
Kemahiran dan pengalaman sahaja tidak mencukupi tanpa melengkapkan diri kita dengan segala sifat yang terpuji seperti sabar, rajin, tekun dan lain-lain. Sifat-sifat ini juga tidak akan pernah wujud dalam diri kita seandainya kita tidak mahu menginsafi segala kesalahan, kesilapan, keterlanjuran, pendek kata segala dosa kita. Justeru itu kita hendaklah memperbanyakkan taubat dan istigfar memohon ampun kepada Allah SWT kerana kita telah gagal melaksanakan tanggung jawab yang telah diamanahkan kepada kita. sambil memohon ampun kita terus melipat-gandakan usaha mentarbiah diri dan zuriat kita disamping tidak putus-putus berdoa.

KENAPA ANAK-ANAK MENJADI DEGIL?
Ada beberapa faktor yang menjadi penyebab mengapa anak-anak kita bersifat degil atau lebih dahsyat lagi derhaka. Faktor-faktor ini adalah akibat kegagalan ibu bapa menunaikan amanah Allah SWT dalam membentuk keperibadian anak.

Faktor Pertama : BALASAN
Sebenarnya resiko yang kita terima sekarang ini adalah balasan kepada sikap dan sifat kita terhadap ibu bapa kita semasa kita kecil dahulu. Sudah tentu ibu bapa kita semasa kecilnya juga bersifat seperti kita (degil/derhaka). Kesalahan ini kait mengait antara kita dan ibu bapa kita sebagai balasan Allah SWT. Ini ditambah dengan keingkaran anak menurut kata, juga kesalahan ibu bapa tidak melaksanakan tanggung jawab (amanah Allah SWT) mendidik anak mengikut kehendak Allah SWT. Jadi kesalahan anak ialah kerana gagal berbuat baik kepada ibu bapa, manakala ibu bapa pula gagal membentuk mereka menjadi anak yang mengikut kebaikan.

Anak-anak sepatutnya berbuat baik kepada ibu bapa seperti mana ibu bapa berbuat baik kepada mereka, mudah-mudahan anak-anak mereka (cucu-cicit ) nanti berbuat baik kepada mereka sebagai balasan kepada perbuatan baik mereka. Kalau sebaliknya maka sebaliknyalah pula yang bakal kita terima. Ini jelas disebutkan dalam sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud : "Berbuat baiklah kamu kepada kedua ibu bapa kamu, nescaya anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu".
Berbuat baik di sini meliputi segala aspek kehidupan dan juga tuntutan agama Islam itu sendiri. Ini bermakna tidak timbul anak derhaka akibat (balasan) dari ibu bapa yang derhaka kepada ibu bapa mereka dahulu, seandainya masing-masing mahu berbuat baik

Faktor Kedua : KECUAIAN/KEGAGALAN MENDIDIK
Anak kita menjadi degil atau derhaka adalah disebabkan oleh kecuaian atau kegagalan kita sebagai ibu bapa mendidik mereka mengikut lunas-lunas yang disarankan oleh agama. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : "Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat (sembahyang) ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika enggan) ketika mereka berumur sepuluh tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka (dari ibu bapa dan juga dari adik beradik mereka yang berlainan jenis/jentina).

Rasulullah SAW menegaskan betapa peri pentingnya ibadat solat didirikan, sehingga Baginda menyuruh kita mengarahkan anak-anak kita melakukan solat itu semasa mereka baru berumur tujuh tahun. Suruhan itu begitu tegas sekali apabila Baginda menyuruh kita menggunakan rotan tatkala anak yang berumur sepuluh tahun enggan mendirikannya.

SOLAT/SEMBAHYANG?Kenapa solat atau sembahyang pula dikaitkan dengan agenda mentarbiah generasi berilmu dan berakhlak ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat?

Sebagai menjawab pertanyaan ini, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :
"Solat/sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya ia telah mendirikan agamanya, sesiapa yang meninggalkannya sesungguhnya ia meruntuhkan agama".
Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al-'Ankabuut ayat : 45 yang bermaksud :
"Bahawa sesungguhnya sembahyang itu (boleh) mencegah (orang yang mendirikannya) dari (melakukan) perkara yang keji dan mungkar (jahat)". Kedua-dua NAS yang tersebut sudah cukup untuk membuktikan betapa solat atau sembahyang itu satu perkara yang amat penting dalam arus pendidikan anak-anak ke arah melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah, pewaris kecemerlangan dunia dan akhirat. Kerana orang yang taat melaksanakan solat itu sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT. Terpelihara dari dosa, maksiat dan kemungkaran. Bahkan mereka sentiasa berada di bawah pimpinan Allah SWT kepada sifat taat, taat kepada ibu bapa, guru, juga kepada Allah SWT dan RasulNya SAW, serta sifat-sifat terpuji seperti sabar, rajin, tekun dan sebagainya.

ROTAN/PUKUL-DERA?Menggunakan rotan dalam kaedah pendidikan Islam adalah satu cara psikologi yang paling berkesan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW seperti hadis yang baru kita ikuti tadi, dan disokong oleh sebuah hadis lagi yang bermaksud :"Allah SWT memberkati rumah yang di dalamnya ada digantung rotan".

Rotan bukan digunakan untuk mendera anak, tetapi fungsinya yang sebenar ialah untuk tujuan pendidikan. Kalau kita memukul anak yang enggan mendirikan sembahyang sedang ia telah berumur sepuluh tahun, apatah lagi yang telah 'Aqil Baligh mestilah dengan cara dan kaedah yang betul yang benar-benar bertujuan untuk mendidik, bukan mendera atau menyeksa anak. Perbuatan merotan yang didorong oleh niat yang ikhlas kerana menjalankan perintah Rasulallah SAW itu boleh menghalau syaitan yang bersarang dalam jiwa anak-anak kita. Tetapi merotan anak dengan sesuka hati dan tujuan mendera, hanya akan menyebabkan anak kita menjadi konco-konco syaitan yang menanamkan sifat dendam, benci, marah dan sebagainya.

KITA DAN ROTAN
Kalau kita di rumah tidakpun merotan anak kita yang layak dirotan, di luar rumah kita tidak dapat pastikan bahawa anak kita tidak menerima hukuman kepada kesalahan yang dilakukannya. Guru disiplin dan guru besar atau pengetua kini diberi lesen untuk menggunakan rotan. Lagipun yang mana lebih baik, di rumah kita gunakan rotan dan diluar anak kita menjadi manusia baik, atau kita tak pernah merotan anak hingga anak kita jadi pelesit lalu ditangkap oleh pihak berkuasa dan disumbat ke dalam penjara kerana kesalahan jenayah dan sebagainya.
Anak yang tidak pernah dirotan oleh ibu bapa akan menganggap diri mereka anak manja atau anak emas. Anak yang merasa diri mereka raja di dalam rumah akan menampakkan sikap yang degil seterusnya membawa kepada derhaka.
Namun demikian kita harus menggunakan rotan dengan cara yang berpatutan, bersesuaian dengan tujuan sebenar untuk memberi pendidikan. Kerana kalau tersilap langkah maka lain pula jadinya. Dalam hal ini kita jangan menjadi bapa ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul sedangkan dirinya sendiri berjalan mengiring/mereng. Ini bermakna kita kenalah mempraktikkan pendidikan lisanul hal (amali/praktik), supaya anak-anak akan menjadikan kita sebagai 'role model' kepada diri mereka.


TINDAKAN SUSULAN
Kalau kita telah berjaya membentuk anak-anak kita mengikut acuan cemerlang seperti yang kita kehendaki sesuai dengan tuntutan agama yang disarankan oleh orang yang tidak akan bercakap kecuali yang diwahyukan kepadanya iaitu Nabi Muhammad SAW. Kita tidak harus bergoyang kaki atau berpuas hati. Ini adalah kerana anak kita sudah tentu akan terjun ke medan juang yang sudah tentu situasinya lebih mencabar. Bukan sahaja mencabar kewibawaan ilmu pengetahuannya tetapi yang amat dikhuatiri ialah gejala yang boleh memesongkan akhlaknya lebih tepat lagi imannya.

Berjuang ditengah-tengah mesyarakat walau apapun arena yang diceburinya, sudah tentu bergelut dengan berbagai ragam manusia itu sendiri. Apa yang paling merbahaya ialah pengaruh persekitaran dan rakan sebaya yang rata-rata menjurus ke arah ledakan budaya negatif, yang bukan sahaja melambai-lambai bahkan kadang-kala mengheretnya secara paksa. Oleh itu kita sebagai ibu bapa tidak harus lalai dan leka dari terus memberi tumpuan perhatian terhadap segala aktiviti yang diceburi serta terus meneliti perkembangan anak kita dari masa kesemasa. Jangan biarkan mereka tergelencir, lalu hanyut dibawa arus nafsu dan syahwat yang dikemudikan oleh syaitan yang durjana. Kita mestilah terus membuat tindakan susulan yang berkesinambungan dari masa kesemasa, tanpa mengenal jemu dan bosan, pendek kata tiada istilah 'pencen' bagi ibu bapa selagi mereka masih menghirup udara Tuhan.
Ibu bapa hanya akan 'pencen' dan menerima ganjaran dari 'pencen' tersebut apabila telah kembali 'kerahmatullah'. Ibu bapa akan menerima ganjaran yang setimpal dengan tugas serta tanggungjawab yang telah mereka laksanakan di dunia. Di dalam 'barzakh' (alam kubur) mereka akan sentiasa menerima 'dividen' dan 'bonos' yang diperolehi dari kiriman yang berterusan dari seorang anak yang 'soleh'. Ini jelas disebutkan dalam sebuah hadis yang bermaksud :
"Jika mati anak Adam terputuslah segala amalannya (pahalanya) kecuali dari tiga perkara; Sedekah 'Jariah', ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya". Untuk melihat sesuatu hasil, sudah tentu perlu kepada usaha yang berterusan yang tidak mengenal penat lelah, bahkan usaha itu dilakukan adalah semata-mata ikhlas kerana melaksanakan perintah Allah SWT. Usaha ke arah melahirkan anak yang soleh adalah tanggungjawab ibu bapa sebagai amanah dari Allah SWT. Oleh kerana ganjaran yang bakal diterima di alam 'barzakh' (kubur) begitu lumayan sekali, maka usaha untuk melahirkan anak yang soleh itu sudah tentu berat, rumit dan sukar sekali sesuai dengan ganjaran yang bakal diterima.

ANAK YANG SOLEH
Untuk mempastikan anak-anak terus soleh dalam hidup dan penghidupannya, sebagai tindakan susulan yang berterusan maka perkara-perkara berikut mestilah berjalan seiring sebagai motivasi dan galakan kepada mereka supaya terus kekal dalam kesolehannya. PERANAN KITA SETERUSNYA IALAH:
1. Memberi semangat.
2. Memberi dorongan.
3. Memberi galakan.
4. Memberi perangsang.
5. Mengambil berat.
Kesemua elemen tersebut hendaklah sentiasa berlaku dengan penuh hikmah dan bijaksana. Antara kelima-lima elemen tersebut, yang paling penting sekali ialah "Mengambil Berat". Ini adalah kerana, ramai anak-anak merasa diri mereka tidak dikasihi, tidak disayangi apabila ibu bapa gagal mengambil berat tentang diri mereka. Ada dikalangan anak-anak yang semacam sengaja melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh ibu bapa mereka semata-mata menagih simpati dan perhatian dari ibu bapa mereka yang pada anggapan mereka telah tidak mempedulikan mereka lagi.
Mereka berharap dengan melakukan satu-satu kesilapan, ibu bapa akan kembali memberi perhatian terhadap mereka. Perasaan ini selalu wujud dalam jiwa remaja. Akhirnya mereka akan bertindak membelakangkan ibu bapa dan ketika itu pengaruh rakan sebaya menjadi alternatif kepada kekosongan jiwa yang mereka rasakan. Sebenarnya orang yang paling cepat merebut peluang mengisi kekosongan jiwa mereka ialah "syaitanir Rajim", lalu syaitan dan segala konconya memainkan peranan proaktif untuk mempastikan mangsanya benar-benar masuk ke dalam jeratnya. Matlamat yang ingin dicapai oleh syaitan ialah supaya anak itu menjadi derhaka kepada ibu bapanya, kemudian ia akan terus memujuk anak itu supaya mengikut telunjuknya sehingga matlamatnya yang terakhir berjaya iaitu menyeret anak itu masuk ke dalam neraka.

MENGAMBIL BERAT
Mengambil berat, ambil hirau atau ambil pusing atau ambil peduli sepatutnya menjadi 'rutin' kepada ibu bapa, kerana kalau perkara ini hanya berlaku sekali sekala sahaja sudah tentu tidak akan mendatangkan kesan yang memuaskan, bahkan mungkin anak-anak boleh tersalah anggap terhadap tindakan kita yang boleh menimbulkan rasa jengkel dan meluat dalam diri mereka. Kalau sikap mengambil berat ini menjadi rutin dalam kemesraan antara ibu bapa dan anak-anak, sudah tentu anak-anak akan meresa diri mereka diambil berat diambil pusing, yang ditafsirkan oleh perasaan murni mereka sebagai kasih dan sayang.
Perkara-perkara yang sepatutnya diambil berat atau yang patut sentiasa dihiraukan sebagai rutin antaranya ialah:
1. Bagaimana dengan peralatan atau kelengkapan, keperluan anak kita? Adakah ianya mencukupi?Tidakkah anak kita kekurangan apa yang dia perlukan, atau apakah yang kita sediakan lebih dari mencukupi atau ianya terlalu berlebihan. Kalau ia tidak mencukupi sudah tentu ia perlu meminjam dari kawan-kawan, ini mungkin akan mengajar anak kita sifat kurang baik, kerana kalau ia terbiasa meminjam sudah tentu ia akan mendapat cemuhan dari kawan-kawan. Cemuhan ini akan bertambah serius jika anak kita dituduh menghilangkan apatah lagi dituduh mencuri. Tetapi kalau yang kita sediakan terlalu berlebihan, akan lain pula jadinya. Kalau hanya setakat 'spend' kawan sahaja tidaklah menjadi hal, tetapi apa yang kita takutkan, dia akan membeli benda-benda yang tidak berfaedah, melalaikan dan merosakkan atau yang kita tidak ingini ia akan menjadi mangsa peras ugut rakan sebaya.

2. Bagaimana perkembangan anak-anak kita semasa berada di sekolah, atau di tempat kerjanya, perkembangan prestasinya yang berkaitan dengan akademik dan juga akhlaknya, atau mutu kerjanya. Adakah kerjayanya kini perlu kita beri pujian atau insentif?Apakah sebenarnya insentif yang bersesuaian untuk kerjayanya? Tetapi kalau kita hanya memandang sepi segala kemajuan yang ditunjukkan (dicapai), mereka mungkin berangapan yang diri mereka tidak lagi diberi perhatian. Inilah perkara yang patut kita sering ingat dan cuba elakkan dari pernah berlaku.

3. Bagaimana akhlak dan disiplin anak-anak kita dalam bidang yang mereka ceburi? Kalau difikirkan mereka perlu diberi nasihat, motivasi atau tindakan yang lebih keras seperti rotan (rotan didikan), kita harus segera bertindak dengan bijaksana dan penuh hikmah. Kalau kita lambat apatah lagi gagal bertindak sewajarnya, kita akan menanggung risiko akibat kecuaian kita. Cuba fikirkan apakah pula yang patut kita ucapkan atau berikan seandainya ia memang terbukti berakhlak baik dan berdisiplin.
4. Kita mesti mengambil tahu hal keadaan anak-anak kita semasa mereka berada di rumah. Pastikan apapun yang mereka kerjakan adalah yang baik, bermanfaat dan jauh dari bahaya, samada bahaya pada fizikal mereka mahupun yang boleh membahayakan mental mereka, yang lebih utama ialah spiritual mereka. Apatah lagi jika mereka keluar atau di luar rumah. Membiarkan begitu sahaja, terlalu mudah mengizinkan, terlalu mudah untuk cuba dibohongi, adalah kesilapan besar yang akan membawa padah yang besar pula nanti. Kesilapan kita ini akan dijadikan ruang kesempatan untuk mereka mempelajari sifat-sifat negatif yang menjanjikan wujudnya anak derhaka. Jadi bertindaklah dengan bijaksana dalam mengawasi segala sepak terajang mereka setiap masa. Kita bukan sahaja berperanan sebagai ibu bapa, tetapi kita juga bertindak sebagai guru, bahkan sebagai polis atau 'mata-mata gelap' dalam mempastikan anak-anak kita benar- benar beraksi di atas paksi yang luhur yang dikehendaki oleh lunas-lunas agama.

MEMPERUNTUKKAN MASA
Kesemua apa yang telah dikatakan sebelum ini memerlukan pengorbanan yang tinggi dari para ibu bapa. Ibu bapa mestilah pandai memperuntukkan masa yang secukupnya untuk meladeni (melayani) karenah anak-anak.

Sekali lagi kita harus bijaksana menguruskan masa kita. Jangan pula kerana sibuk mengurus anak-anak menyebabkan kita lalai terhadap tanggungjawab kita kepada tugas yang diamanahkan kepada kita oleh majikan kita, apatah lagi kalau sampai melalaikan kita terhadap tanggungjawab kita kepada Allah SWT dan Rasul SAW. Dalam hal ini Allah SWT telah memperingatkan kepada kita dengan firmannya yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta benda kamu dan anak-anak kamu dari mengingati (melaksanakan perintah) Allah, kerana barang sesiapa berbuat demikian maka merekalah orang yang rugi" (Surah Al-Munafiquun Ayat :9)
Dalam hal ini Pepatah Melayu juga ada mengtakan : "Bahawa masa itu adalah (umpama) emas". Ini menunjukkan masa itu terlalu berharga. Kalau kita gagal merebutnya maka kita akan rugi. Maka tidak heranlah kenapa Allah SWT sendiri bersumpah dengan (keutamaan) masa, seperti firmannya yang bermaksud:
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu nescaya (berada) dalam kerugian. Kecuali orang- orang yang beriman dan beramal soleh (berlaku baik), dan berpesan-pesan dengan (menlaksanakan) kebenaran, dan berpesan-pesan dengan (mengamalkan sifat) kesabaran".
(Surah Al-'Asr)

BUKTI KEJAYAAN CEMERLANG
Kejayaan cemerlang atas segala usaha kita selama ini hanya akan berjaya dibuktikan oleh kita sendiri. Kita yang menjadi ketua rumah dapat membuktikan bahawa kita telah berjaya mengwujudkan 'keluarga bahagia' dalam rumah tangga kita. Sementara semua penghuni rumah itu dapat merasakan bahawa rumah yang mereka diami bagaikan syurga yang aman damai. Semua isi rumah akan mendokong slogan "Rumahku Syurgaku". Bahkan suasana tersebut juga dapat dihidu keharumannya oleh jiran tetangga mahupun para tamu yang datang berkunjung, yang tidak pernah diminta (komen) dari mulut mereka apapun pujian, tetapi bagaikan manis madu rasanya (mereka membuat komen) mengatakan bahawa suasana yang mereka rasai di dalam rumah kita bagaikan suasana sebuah syurga. Bahkan ibu bapa begini juga adalah orang yang memenuhi segala syarat yang perlu ada kepada ibu atau bapa "mithali", kerana kejayaannya membentuk keluarga bahagia dan cemerlang.

Ibu bapa ini juga kalau dia seorang pekerja yang menjawat apa-apa jawatan pun, di mana sahaja ia ditugaskan, bila-bila sahaja khidmatnya diperlukan, akan mempamirkan mutu
(kualiti) kerja yang berprestasi tinggi. Mereka ini berkhidmat dengan segala sifat-sifat yang terpuji, melaksanakan tugas dengan yang terbaik, bukan kerana inginkan pujian, amat teliti dalam segala tindakan dengan mengelakkan segala sifat-sifat yang keji bukan kerana takut kepada (kejian) caci dan maki dari sesiapapun. Mereka ini terbukti memenuhi segala syarat yang perlu ada kepada pekerja yang layak dianugerahi "Khidmat Cemerlang", bahkan majikannya tidak akan teragak-agak untuk mencalonkannya supaya dinaikkan pangkat atau dikurniai 'darjah-darjah' kebesaran dan lain-lain insentif.

BUKTI KECEMERLANGAN ANAK
Anak yang terdidik oleh ibu bapa cemerlang dengan kaedah-kaedah cemerlang akan menamatkan pengajiannya dengan cemerlang, bukan sahaja cemerlang akademiknya bahkan cemerlang peribadi dan jiwanya dengan akhlak yang mulia.
Walau apa bidang kerjaya yang diceburinya, dia tetap cemerlang. Sasaran utamanya adalah perkhidmatan yang terbaik, matlamatnya adalah kecemerlangan diri dan majikannya, bahkan kecemerlangan agamanya dapat dilihat dari mutu kerjanya yang sentiasa maju. Anak-anak ini tidak akan mudah dikelabui (dirasuah) dengan wang ringgit yang mungkin akan ditumbukkan kerusuknya. Ia sentiasa merasa diawasi oleh mata yang boleh melihat dalam keadaan terang mahupun gelap, yang nyata mahupun yang tersembunyi, DIA (Allah SWT) yang mewakilkan dua malaikat "Kiraman Katibin" yang tidak pernah lalai dari mencatat segala apa yang ia (juga kita semua) lakukan. Begitulah kuat imanya terhadap setiap rukun iman (yang enam) itu sendiri, sebagai bukti kecemerlangan dirinya.

Mereka ini menjalankan segala tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan penuh komitmen, iltizam dan istiqamah, tanpa mengira masa dan tidak tertakluk kepada nilai upah atau gaji yang diterima, bahkan merasakan bahawa gaji yang diterimanya dari majikan bukanlah satu keutamaan yang boleh merampas keutamaan sifat ikhlas yang menjadi sifatnya yang paling utama dalam mencari keridaan Allah SWT.

KESIMPULAN
Seandainya apa yang disarankan melalui catatan ini dapat dipraktikkan sendiri oleh ibu bapa, samada untuk pakaian sendiri atau untuk diterapkan dalam agenda mentarbiah anak-anak dari masa kesemasa dengan penuh tanggungjawab dan bijaksana serta niat yang ikhlas, maka usaha yang murni (artikel) ini sudah tentu dapat membantu mengwujudkan generasi berilmu dan berakhlak ke arah kecemerlangan (hidup) di dunia dan juga di akhirat nanti.
Maka semua ini terpulanglah kepada ibu bapa itu sendiri samada mahu mencuba dengan usaha yang bersungguh-sungguh ataupun mahu terus mencuba teori-teori yang cuba diketengahkan oleh musuh-musuh Islam yang kadang-kala bertentangan dengan apa yang dianjurkan oleh agama kita yang maha suci.

Perlu diingat, bahawa kita sebenarnya bukanlah gagal dalam mentarbiah anak-anak kita, tetapi sebenarnya yang gagal adalah percubaan kita yang mungkin sebelum ini terdapat cacat- cela di sana sini. Oleh itu kita hendaklah berani untuk terus mencuba. Jangan sekali-kali kita gagal untuk meneruskan percubaan demi percubaan disamping terus bertawakkal dan bermohon doa kepada Allah SWT, mudah-mudahan dengan kecekalan kita itu akan dimakbulkan oleh Allah SWT juga akhirnya Insya Allahu Ta'ala Amin ya Rabbal 'alamin.

MELENTUR PERIBADI ANAK MENURUT LANDASAN AGAMA

Melentur peribadi anak menurut landasan Agama

Oleh: Suzana Ghazali
Belum habis dengan isu Black Metal, masyarakat digemparkan pula dengan isu Black Rose. Walau apa pun namanya, kedua-dua isu black ini adalah rentetan daripada rosaknya akhlak, moral dan etika remaja masa kini. Apabila memperkatakan tentang masalah tingkah laku, masyarakat kita lebih senang menuding jari, menyalahkan orang lain. Suami marahkan isteri kerana gagal mendidik anak-anak, isteri marahkan suami kerana lepas tangan dalam mendidik anak-anak sementara ibu bapa pula meletakkan kesalahan kepada para guru, kononnya tidak berjaya menjalankan peranan dan tanggungjawab sebagai pendidik. Justeru, siapa yang bersalah?Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Setiap bayi dilahirkan di dalam keadaan fitrah (suci bersih dari sebarang dosa). Terpulang kepada kedua ibu bapanya untuk mencoraknya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”Maksud hadis di atas menjelaskan bahawa ibu dan bapa mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar di dalam menentukan keadaan dan masa depan anak-anak, samada untuk menjadikannya insan yang berakhlak mulia atau sebaliknya.Malangnya, dalam era kepesatan ekonomi kini, ketika ibu bapa sibuk bekerja mencari pendapatan untuk menampung keperluan malah ada antaranya untuk kemewahan, peranan dan tanggungjawab ini telah ‘diwakilkan’ kepada pembantu rumah, pengasuh, guru dan sebagainya.Ada di antara ibu bapa yang mengambil sikap lepas tangan dan membiarkan anak mereka melalui zaman remaja tanpa mengambil tahu pergolakan yang dialami oleh anak mereka. Sedangkan, satu perkara penting yang perlu diketahui oleh ibu bapa ialah zaman remaja merupakan zaman peralihan dari alam kanak-kanak menuju alam dewasa. Masa ini merupakan suatu masa yang penting kerana pada masa ini mereka akan menentukan konsep dirinya atau ‘siapakah diri aku’ atau suatu proses bagi menentukan konsep jati diri di dalam dirinya.Ahli psikologi menyenaraikan beberapa perubahan besar yang wujud di dalam masa peralihan ini iaitu:
Perubahan pada fizikal:apabila sampai pada peringkat akhir remaja, simbol-simbol daya tarikan seks mula kelihatan pada diri mereka, yang turut diiringi dengan daya rangsangan seksual yang mula meningkat.
Perubahan emosi dan fikiran:pada zaman kanak-kanak, rentak hidupnya ditentukan oleh ibu bapa. Apabila melangkah ke alam remaja, anak-anak mula pandai berfikir, menilai perasaan, mengkaji rentak hidup ibu bapa, mencuba sesuatu yang baru dan berkhayal tentang keindahan dunia orang dewasa. perubahan ini menimbulkan keresahan di dalam diri meraka kerana mereka tidak mampu berdikari bagi memenuhi kehendak mereka dan dalam masa yang sama mereka tidak sanggup lagi terus mengikuti rentak yang diatur oleh ibu bapa mereka. lantaran, mereka akan mudah meniru cara insan yang terdekat dengan mereka ataupun insan yang dikagumi mereka.
Narcisma:Narcisma bermaksud ketagih cinta dan ingin dicintai serta mendapat perhatian istimewa. Perasaan ini memuncak kerana remaja mengalami rasa sunyi yang hebat kesan daripada peralihan masa untuk berdikari dan memperluaskan rakan sosial yang sesuai.
Menyertai kumpulan:Ini dimaksudkan dengan dorongan dan minat untuk memperluaskan rakan sosial. Mereka akan menyertai kumpulan tertentu atau membentuk kumpulan baru berdasarkan persamaan umur, prinsip, hobi dan taraf sosial. Penyertaan dalam kumpulan sebegini pada asasnya adalah satu perkembangan yang sihat kerana ianya akan mendorong perkembangan mental tetapi jika penyertaan dalam kumpulan ini disalahgunakan, ia akan menjerumuskan remaja ke kancah aktiviti yang bertentangan dengan prinsip agama dan undang-undang.
Menentang kekuasaan:remaja akan merasakan ibu bapa, guru malah mereka yang lebih tua daripada mereka mempunyai kuasa yang boleh menghalang pencapaian niat dan cita-cita remaja mereka. lantaran itu, mereka akan mencari rakan sekumpulan dan akan melakukan sesuatu dengan nekad bagi membuktikan bahawa mereka mampu berdikari tanpa mempertimbangkan kebaikan dan keburukannya.
Meneliti permalahan jiwa remaja ini, jelas sekali pembentuk dan pembimbing terbaik bagi kehidupan anak-anak ialah ibu bapa. Sebagai pemimpin di dalam rumahtangga, sewajarnya ibu bapa memiliki kemahiran keibubapaan terutamanya di dalam mendidik anak-anak. Bentuk pendidikan yang terbaik ialah ibu bapa menjadi model insan yang salih untuk dijadikan ikutan dan contoh oleh anak-anak. Dalam mendidik anak-anak pula, ibu bapa perlu memberikan keutamaan kepada didikan agama.Yang dimaksudkan dengan didikan agama bukanlah pendidikan agama yang diberikan oleh para guru di sekolah. Perkara yang paling penting ialah penanaman jiwa agama yang dimulai sejak anak-anak kecil. Contohnya, anak-anak tahu erti sembahyang setelah melihat ibu bapa sembahyang dan bukannya tahu sembahyang setelah menjejakkan kaki ke sekolah. Malangnya, ada ibu bapa kini yang tidak mengambil berat hal keagamaan ini dan lebih menitik beratkan ilmu duniawi.Ibu bapa lebih bangga bila anak kecil berjaya mengira one two three… dan tidak menggalakkan anak kecil membaca alif ba ta… malah, ada ibu bapa yang marahkan anak-anak yang bercita-cita untuk menjadi seorang Mufti, sebaliknya memaksa anak menanam cita-cita menjadi jurutera kerana pendapatannya lebih besar. Jika jiwa seseorang itu tidak dibekalkan dengan didikan agama maka dia lebih mudah terlibat dengan perkara-perkara yang menyalahi batasan agama dan tatasusila masyarakat.Maksud firman Allah dalam surah az-Zukhruf ayat 36: “Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran al-Quran yang diturunkan oleh Allah Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya) lalu jadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.”Selain itu, ibu bapa perlu disiplinkan anak-anak, bukan dengan kekerasan tetapi dengan kasih sayang. Ibu bapa perlu tegas menyatakan bahawa anak-anak akan disayangi jika mereka melakukan sesuatu kebaikan dan berikan ganjaran yang tidak keterlaluan. Jika mereka melakukan kesalahan, nyatakan kesalahan mereka dan berikan alasan kenapa perkara yang dilakukan oleh mereka itu salah serta larang mereka ulangi kesilapan tersebut dan selitkan amaran tentang hukuman yang akan mereka terima jika masih melakukan kesalahan yang sama. Jika anak-anak dilarang daripada melakukan sesuatu tanpa dijelaskan sebab larangan tersebut, mereka akan berminat untuk mengulangi perbuatan itu semula untuk mengetahui punca larangan.Perkara paling penting ialah meluangkan masa bersama anak-anak, ambil tahu masalah yang mereka hadapi. Ibu bapa yang dapat mewujudkan hubungan kawan dan sahabat dengan anak-anak adalah ibu bapa yang berjaya mendekati jiwa dan perasaan anak remaja mereka. Keprihatinan sebegini akan mengurangkan pergaulan antara sesama rakan sebaya yang boleh mendorong mereka menyimpang dari landasan sebenarnya.Di samping usaha dan ikhtiar, panjatkanlah doa kepada Allah agar diri kita, keluarga kita dan anak-anak kita dijauhkan daripada tipu daya syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan anak-anak Adam a.s.

BUAT MAK ABAH / MUMMY DADDY / UMI WALID / MAMA PAPA

Ikatan perkahwinan dan kehidupan berumatangga bukan sekadar untuk berseronok semata-mata tetapi merupakan suatu komitmen sepanjang hayat yang penuh dengan pelbagai peranan, tugas dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh kedua-dua pasangan yang telah sama-sama melafazkan kesetiaan dan perjanjian mereka untuk bersama-sama.
Apabila memperkatakan tentang masalah tingkah laku anak-anak, masyarakat kita lebih senang menuding jari, menyalahkan orang lain. Suami marahkan isteri kerana gagal mendidik anak-anak, isteri marahkan suami kerana lepas tangan dalam mendidik anak-anak sementara ibu bapa pula meletakkan kesalahan kepada para guru, kononnya tidak berjaya menjalankan peranan dan tanggungjawab sebagai pendidik. Justeru, siapa yang bersalah?

Tidak kurang juga ibu bapa yang menyalahkan anak mereka kerana pada mereka anak-anak telah diberikan pendidikan yang sepatutnya iaitu di sekolah. Ayat yang selalu didengar…. “mereka dah besar panjang, sudah boleh berfikir sendiri….”. Bagi ibu bapa yang berfikiran begini, pada mereka apabila anak sudah dihantar ke sekolah dan telah menjangkau umur belasan tahun, anak itu sendiri yang perlu dipersalahkan tanpa menyedari bahawa ibu bapa itu sendiri yang sebenarnya memainkan peranan membentuk tingkah laku anak sejak dari alam rahim lagi sehinggalah mereka ke alam kubur.

Ada juga ibu bapa yang apabila anaknya melakukan kesalahan, mereka akan cuba untuk menyembunyikan kesalahan mereka mendidik anak dengan membandingkan anaknya dengan anak orang lain, umpamanya, “ tu….anak pak imam pun buat salah jugak, jadik kutu kampung, mencuri….lagi teruk dari anak aku…..tu nak kata pak imam tak pandai didik anak ker…..?????”.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Setiap bayi dilahirkan di dalam keadaan fitrah (suci bersih dari sebarang dosa). Terpulang kepada kedua ibu bapanya untuk mencoraknya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”. Maksud hadis di atas menjelaskan bahawa ibu dan bapa mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar di dalam menentukan keadaan dan masa depan anak-anak, samada untuk menjadikannya insan yang berakhlak mulia atau sebaliknya.

Memanglah menjadi hasrat setiap pasangan ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka berjaya dalam hidup. Apabila membincangkan soal untuk mempertingkatkan potensi intelek seseorang kanak -kanak , aspek -aspek lain seperti perkembangan fizikal, sosialnya, dan rohaniahnya tidak boleh diketepikan. Perkembangan dalam satu bidang akan mempergaruhi perkembangan dalam bidang yang lain. Umpamanya , perkembangan aspek komunikasi yang optimum akan mempertingkatkan kemahiran sosial si anak. Ini kemudiannya akan mempengaruhi kemahiran inteleknya , meningkatkan daya kreatif dan menonjolkan bakat semulajadi yang diwarisi dari ibu bapa atau nenek moyangnya. Peranan ibu bapa dalam usaha untuk mempertingkatkan potensi anak mereka boleh diwujudkan melalui konsep keibu - bapaan berkesan atau effective parenting. Konsep ini bertujuan untuk mencorakkan perwatakan atau personaliti si anak itu supaya ciri -ciri tingkah laku yang ditunjukkanya adalah baik dan sesuai dengan kehendak ibu bapa, keluarga , masyarakat dan negara. Ibu bapa merupakan sebaik-baik contoh kepada anak-anak. Mereka perlu sentiasa menarik perhatian anak mereka kepada perwatakan dan tingkah laku yang baik agar si anak dapat menjiwakannya.

Tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa adalah agen utama dan yang pertama mesti memainkan peranan melaksanakan tanggung jawab mengasuh, mendidik mengajar serta membimbing anak-anak mereka. Kelalaian, kelemahan, kesilapan atau kesalahan ibu bapa dalam mentarbiah anak-anak mereka adalah saham terbesar dalam menambahkan lagi jumlah generasi pincang, bermasalah, terpesong, sampah mesyarakat, musuh negara serta perosak agama.
Kegagalan ibu bapa dalam memperlengkapkan diri dengan elemen-elemen yang sepatutnya ada pada diri ibu bapa adalah sebagai punca sebenar kegagalan membentuk generasi yang bukan sahaja berilmu bahkan berakhlak mulia.

Ibu bapa harus menjadi cermin, ikutan, contoh teladan yang baik kepada anak- anak mereka dalam segenap segi. Hanya ibu bapa yang benar-benar cemerlang dunia akhiratnya sahaja yang layak mengimpikan anak-anak yang cemerlang ilmu dan akhlaknya. Maka sentiasalah berusaha dan berdoa untuk menjadi ibu bapa cemerlang seiring dengan usaha membentuk generasi yang cemerlang.

PERANAN IBU BAPA
Peranan bermakna satu kewajiban melaksanakan tugas dan tanggung jawab yang dipikul sebagai amanah yang mana hasilnya yang manis akan kita kecapi sebagai ganjaran kepada kejayaan kita. Manakala hasilnya yang pahit akan kita kecapi dan kita telan sebagai bukti kegagalan kita sendiri.
Peranan ibu bapa dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat, tidak terbatas dalam lingkungan rumah tangga semata-mata, sedangkan di luar rumah, kita serahkan bulat-bulat kepada peranan orang lain, sedangkan dalam masa yang sama kita akan marah kalau anak kita dimarahi atau ditegur kesalahannya oleh orang lain. Pada kita, anak kita tidak akan melakukan kesalahan, anak kita baik…. Terdapat ibu bapa yang tidak dapat menerima teguran dari orang lain kerana ibu bapa itu sendiri selalu mengata anak orang lain nakal atau jahat. Maka apabila orang lain mengadu anaknya nakal, dia tidak dapat menerima teguran itu kerana pada dirinya anaknya baik. Anak yang selalu dibêla atau dimanjakan oleh ibubapa yang sebegini selalunya akan berani berbohong kepada ibubapanya. Setiap kesalahannya pasti ada sahaja alasan yang akan diberikan oleh si anak, dan pasti ibubapanya akan mempercayai segala alasannya. Jiran juga akhirnya bersikap mendiamkan diri kerana tahu tiada sebarang tindakan akan diambil oleh ibubapa tersebut akibat daripada sikap suka memanjakan anak. Jiran akan lebih suka bersikap tunggu dan lihat… (Manjakan anak tidaklah semestinya dengan memberikan kemewahan sahaja tetapi manja seperti contoh di atas). Sikap ini apabila berterusan, anak akan bertambah nakal sehingga ke satu tahap yang tidak dapat dikawal lagi.

Sebenarnya agenda mentarbiah anak itu bermula sejak dari proses mencari jodoh, proses persenyawaan berlaku hinggalah kepada anak itu mampu berdikari bahkan sehingga anak kita itu dijemput kembali kepada Allah.
Mendisiplinkan anak adalah satu proses yang berterusan. Setiap detik dalam kehidupan anak itu merupakan satu pengalaman. Oleh itu, perwatakannya dari semasa akan terbentuk daripada setiap pengalaman yang bermula dari dalam rahim ibunya dan berterusan sehingga akhir hayatnya. Oleh itu , ibu bapa memain peranan untuk memastikan agar anak mereka sering didedahkan kepada pengalaman-pengalaman positif yang meninggalkan kenangan-kenangan manis kepadanya supaya dia dapat menyedari bakat yang ada padanya dan berbangga terhadap setiap pencapaiannya.

Semasa anak-anak masih dalam lingkungan usia yang belum layak dihantar untuk mengikuti pendidikan formal di kelas-kelas TADIKA, maka ketika itu ibu bapa adalah segala-galanya buat mereka. Ibu bapa adalah guru kepada mereka dalam pendidikan informal dalam institusi keluaga, yang mana anak-anak mendapat pendidikan dari ibu bapa mereka secara lisanul hal (praktik) dan lisanul maqal (teori) sebagai ikutan dan contoh teladan kepada mereka. Bahkan sekalipun mereka telah mendapat pendidikan formal dari guru dalam institusi persekolahan, ibu bapa masih tetap berperanan sebagai pemegang saham terbesar dalam memainkan peranan mentarbiah anak-anak mereka.
Ibu bapa bertanggung jawab meluntur anak-anak mereka sejak mereka masih rebung supaya senang dibentuk sesuai dengan kecemerlangan yang diidam-idamkan. Kalau kita gagal meluntur buluh dari rebungnya, maka kita akan berhadapan dengan risiko yang semakin rumit untuk melenturnya. Dalam hal ini Pepatah Melayu ada mengingatkan kita "MELENTUR BULUH BIAR DARI REBUNGNYA" maknanya, mendidik anak itu biar dari masa kecilnya, kerana anak-anak yang dilahirkan itu bagaikan kain putih, maka terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorak-warnakannya mengikut kemahuan mereka. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud : "Setiap bayi yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih/Islam), maka ibu bapanyalah (yang berperanan) menjadikannya (samada) Yahudi, Nasrani atau Majusi".
Maknanya kalau anak kita (muslim) berperangai seperti orang (kafir) Yahudi atau Nasrani atau Majusi, itu adalah bukti kegagalan kita mengislamkan perangai mereka. Jika anak-anak kita mengagong-agongkan budaya negatif dari barat seperti "rock","punk", menagih dadah, pergaulan bebas (melepak dan melakukan perkara yang tidak berfaedah) dan melakukan jenayah seperti mencuri, merompak dan lain-lain jenayah, itu membuktikan kita gagal menerapkan ajaran suci Islam dalam diri mereka, mungkin juga dalam diri kita sendiri.

ANAK-ANAK TERLANJUR MENJADI BULUH, BESI ATAU BATU
Jika kita terbukti gagal mendidik anak semasa rebungnya, kita sebenarnya mendedahkan diri kita kepada risiko yang rumit untuk membentuknya. Walau bagaimanapun peranan kita sebagai ibu bapa masih tetap wajib dilaksanakan. Untuk melentur buluh kita terpaksa menggunakan api untuk melembutkannya, pun begitu silap langkah, buluh akan pecah atau patah, jadi kita harus berhati-hati. Perkara ini perlu kepada kemahiran dan pengalaman serta maklumat yang luas untuk melihat hasilnya yang memuaskan. Kalau anak telah terlanjur menjadi besi, untuk melembutkannya, mencairkannya dan membentuknya semula menjadi semakin rumit. Kita terpaksa menggunakan api yang berkuasa tinggi untuk meleburkannya baru dapat membentuknya semula, sekali lagi kita perlu mempunyai kemahiran dan pengalaman yang tinggi.
Kalau anak telah keras menjadi batu, berhati batu, kepala batu, telinga batu, kita terpaksa melembutkannya dengan menggunakan air atau terpaksa menggunakan berbagai alat untuk membentuknya, atau kita terpaksa menghancurkannya menjadi serbuk baru boleh membentuknya semula. Ini sudah tentu lebih rumit, sekali lagi mahu tidak mahu kita perlu sentiasa menambahkan kemahiran dan pengalaman.
Kemahiran dan pengalaman sahaja tidak mencukupi tanpa melengkapkan diri kita dengan segala sifat yang terpuji seperti sabar, rajin, tekun dan lain-lain. Sifat-sifat ini juga tidak akan pernah wujud dalam diri kita seandainya kita tidak mahu menginsafi segala kesalahan, kesilapan, keterlanjuran, pendek kata segala dosa kita. Justeru itu kita hendaklah memperbanyakkan taubat dan istigfar memohon ampun kepada Allah SWT kerana kita telah gagal melaksanakan tanggung jawab yang telah diamanahkan kepada kita. sambil memohon ampun kita terus melipat-gandakan usaha mentarbiah diri dan zuriat kita disamping tidak putus-putus berdoa.

KENAPA ANAK-ANAK MENJADI DEGIL?
Ada beberapa faktor yang menjadi penyebab mengapa anak-anak kita bersifat degil atau lebih dahsyat lagi derhaka. Faktor-faktor ini adalah akibat kegagalan ibu bapa menunaikan amanah Allah SWT dalam membentuk keperibadian anak.

Faktor Pertama : BALASAN
Sebenarnya risiko yang kita terima sekarang ini adalah balasan kepada sikap dan sifat kita terhadap ibu bapa kita semasa kita kecil dahulu. Sudah tentu ibu bapa kita semasa kecilnya juga bersifat seperti kita (degil/derhaka). Kesalahan ini kait mengait antara kita dan ibu bapa kita sebagai balasan Allah SWT. Ini ditambah dengan keingkaran anak menurut kata, juga kesalahan ibu bapa tidak melaksanakan tanggung jawab (amanah Allah SWT) mendidik anak mengikut kehendak Allah SWT. Jadi kesalahan anak ialah kerana gagal berbuat baik kepada ibu bapa, manakala ibu bapa pula gagal membentuk mereka menjadi anak yang mengikut kebaikan.

Anak-anak sepatutnya berbuat baik kepada ibu bapa seperti mana ibu bapa berbuat baik kepada mereka, mudah-mudahan anak-anak mereka (cucu-cicit ) nanti berbuat baik kepada mereka sebagai balasan kepada perbuatan baik mereka. Kalau sebaliknya maka sebaliknyalah pula yang bakal kita terima. Ini jelas disebutkan dalam sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud : "Berbuat baiklah kamu kepada kedua ibu bapa kamu, nescaya anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu".
Berbuat baik di sini meliputi segala aspek kehidupan dan juga tuntutan agama Islam itu sendiri. Ini bermakna tidak timbul anak derhaka akibat (balasan) dari ibu bapa yang derhaka kepada ibu bapa mereka dahulu, seandainya masing-masing mahu berbuat baik.

Faktor Kedua : KECUAIAN/KEGAGALAN MENDIDIK

Dalam mendidik anak-anak pula, ibu bapa perlu memberikan keutamaan kepada didikan agama. Yang dimaksudkan dengan didikan agama bukanlah pendidikan agama yang diberikan oleh para guru di sekolah. Perkara yang paling penting ialah penanaman jiwa agama yang dimulai sejak anak-anak kecil. Contohnya, anak-anak tahu erti sembahyang setelah melihat ibu bapa sembahyang dan bukannya tahu sembahyang setelah menjejakkan kaki ke sekolah.

Anak kita menjadi degil atau derhaka adalah disebabkan oleh kecuaian atau kegagalan kita sebagai ibu bapa mendidik mereka mengikut lunas-lunas yang disarankan oleh agama. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : "Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat (sembahyang) ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika enggan) ketika mereka berumur sepuluh tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka (dari ibu bapa dan juga dari adik beradik mereka yang berlainan jenis/jentina).

Rasulullah SAW menegaskan betapa peri pentingnya ibadat solat didirikan, sehingga Baginda menyuruh kita mengarahkan anak-anak kita melakukan solat itu semasa mereka baru berumur tujuh tahun. Suruhan itu begitu tegas sekali apabila Baginda menyuruh kita menggunakan rotan tatkala anak yang berumur sepuluh tahun enggan mendirikannya.


SOLAT/SEMBAHYANG?Kenapa solat atau sembahyang pula dikaitkan dengan agenda mentarbiah generasi berilmu dan berakhlak ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat?

Sebagai menjawab pertanyaan ini, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :
"Solat/sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya ia telah mendirikan agamanya, sesiapa yang meninggalkannya sesungguhnya ia meruntuhkan agama".
Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al-'Ankabuut ayat : 45 yang bermaksud :
"Bahawa sesungguhnya sembahyang itu (boleh) mencegah (orang yang mendirikannya) dari (melakukan) perkara yang keji dan mungkar (jahat)". Kedua-dua NAS yang tersebut sudah cukup untuk membuktikan betapa solat atau sembahyang itu satu perkara yang amat penting dalam arus pendidikan anak-anak ke arah melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah, pewaris kecemerlangan dunia dan akhirat. Kerana orang yang taat melaksanakan solat itu sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT. Terpelihara dari dosa, maksiat dan kemungkaran. Bahkan mereka sentiasa berada di bawah pimpinan Allah SWT kepada sifat taat, taat kepada ibu bapa, guru, juga kepada Allah SWT dan RasulNya SAW, serta sifat-sifat terpuji seperti sabar, rajin, tekun dan sebagainya.

ROTAN/PUKUL-DERA?Menggunakan rotan dalam kaedah pendidikan Islam adalah satu cara psikologi yang paling berkesan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW seperti hadis yang baru kita ikuti tadi, dan disokong oleh sebuah hadis lagi yang bermaksud :"Allah SWT memberkati rumah yang di dalamnya ada digantung rotan".

Rotan bukan digunakan untuk mendera anak, tetapi fungsinya yang sebenar ialah untuk tujuan pendidikan. Kalau kita memukul anak yang enggan mendirikan sembahyang sedang ia telah berumur sepuluh tahun, apatah lagi yang telah 'Aqil Baligh mestilah dengan cara dan kaedah yang betul yang benar-benar bertujuan untuk mendidik, bukan mendera atau menyeksa anak. Perbuatan merotan yang didorong oleh niat yang ikhlas kerana menjalankan perintah Rasulallah SAW itu boleh menghalau syaitan yang bersarang dalam jiwa anak-anak kita. Tetapi merotan anak dengan sesuka hati dan tujuan mendera, hanya akan menyebabkan anak kita menjadi konco-konco syaitan yang menanamkan sifat dendam, benci, marah dan sebagainya.

KITA DAN ROTAN
Kalau kita di rumah tidak pun merotan anak kita yang layak dirotan, di luar rumah kita tidak dapat pastikan bahawa anak kita tidak menerima hukuman kepada kesalahan yang dilakukannya. Guru disiplin dan guru besar atau pengetua kini diberi lesen untuk menggunakan rotan. Lagipun yang mana lebih baik, di rumah kita gunakan rotan dan diluar anak kita menjadi manusia baik, atau kita tak pernah merotan anak hingga anak kita jadi pelesit lalu ditangkap oleh pihak berkuasa dan disumbat ke dalam penjara kerana kesalahan jenayah dan sebagainya.
Anak yang tidak pernah dirotan oleh ibu bapa akan menganggap diri mereka anak manja atau anak emas. Anak yang merasa diri mereka raja di dalam rumah akan menampakkan sikap yang degil seterusnya membawa kepada derhaka.
Namun demikian kita harus menggunakan rotan dengan cara yang berpatutan, bersesuaian dengan tujuan sebenar untuk memberi pendidikan. Kerana kalau tersilap langkah maka lain pula jadinya. Dalam hal ini kita jangan menjadi bapa ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul sedangkan dirinya sendiri berjalan mengiring/mereng. Ini bermakna kita kenalah mempraktikkan pendidikan lisanul hal (amali/praktik), supaya anak-anak akan menjadikan kita sebagai 'role model' kepada diri mereka.

TINDAKAN SUSULAN
Kita tidak harus bergoyang kaki atau berpuas hati. Ini adalah kerana anak kita sudah tentu akan terjun ke medan juang yang sudah tentu situasinya lebih mencabar. Bukan sahaja mencabar kewibawaan ilmu pengetahuannya tetapi yang amat dikhuatiri ialah gejala yang boleh memesongkan akhlaknya lebih tepat lagi imannya.

Berjuang di tengah-tengah mesyarakat walau apapun arena yang diceburinya, sudah tentu bergelut dengan berbagai ragam manusia itu sendiri. Apa yang paling merbahaya ialah pengaruh persekitaran dan rakan sebaya yang rata-rata menjurus ke arah ledakan budaya negatif, yang bukan sahaja melambai-lambai bahkan kadang-kala mengheretnya secara paksa. Oleh itu kita sebagai ibu bapa tidak harus lalai dan leka dari terus memberi tumpuan perhatian terhadap segala aktiviti yang diceburi serta terus meneliti perkembangan anak kita dari masa ke semasa. Jangan biarkan mereka tergelencir, lalu hanyut dibawa arus nafsu dan syahwat yang dikemudikan oleh syaitan yang durjana. Kita mestilah terus membuat tindakan susulan yang berkesinambungan dari masa kesemasa, tanpa mengenal jemu dan bosan, pendek kata tiada istilah 'pencen' bagi ibu bapa selagi mereka masih menghirup udara Tuhan.
Ibu bapa hanya akan 'pencen' dan menerima ganjaran dari 'pencen' tersebut apabila telah kembali 'ke rahmatullah'. Ibu bapa akan menerima ganjaran yang setimpal dengan tugas serta tanggungjawab yang telah mereka laksanakan di dunia. Di dalam 'barzakh' (alam kubur) mereka akan sentiasa menerima 'dividen' dan 'bonos' yang diperolehi dari kiriman yang berterusan dari seorang anak yang 'soleh'. Ini jelas disebutkan dalam sebuah hadis yang bermaksud :
"Jika mati anak Adam terputuslah segala amalannya (pahalanya) kecuali dari tiga perkara; Sedekah 'Jariah', ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya". Untuk melihat sesuatu hasil, sudah tentu perlu kepada usaha yang berterusan yang tidak mengenal penat lelah, bahkan usaha itu dilakukan adalah semata-mata ikhlas kerana melaksanakan perintah Allah SWT. Usaha ke arah melahirkan anak yang soleh adalah tanggungjawab ibu bapa sebagai amanah dari Allah SWT. Oleh kerana ganjaran yang bakal diterima di alam 'barzakh' (kubur) begitu lumayan sekali, maka usaha untuk melahirkan anak yang soleh itu sudah tentu berat, rumit dan sukar sekali sesuai dengan ganjaran yang bakal diterima.

ANAK YANG SOLEH
Untuk mempastikan anak-anak terus soleh dalam hidup dan penghidupannya, sebagai tindakan susulan yang berterusan maka perkara-perkara berikut mestilah berjalan seiring sebagai motivasi dan galakan kepada mereka supaya terus kekal dalam kesolehannya. PERANAN KITA SETERUSNYA IALAH:
1. Memberi semangat.
2. Memberi dorongan.
3. Memberi galakan.
4. Memberi perangsang.
5. Mengambil berat.
Kesemua elemen tersebut hendaklah sentiasa berlaku dengan penuh hikmah dan bijaksana. Antara kelima-lima elemen tersebut, yang paling penting sekali ialah "Mengambil Berat". Ini adalah kerana, ramai anak-anak merasa diri mereka tidak dikasihi, tidak disayangi apabila ibu bapa gagal mengambil berat tentang diri mereka. Ada di kalangan anak-anak yang semacam sengaja melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh ibu bapa mereka semata-mata menagih simpati dan perhatian dari ibu bapa mereka yang pada anggapan mereka telah tidak mempedulikan mereka lagi.
Mereka berharap dengan melakukan satu-satu kesilapan, ibu bapa akan kembali memberi perhatian terhadap mereka. Perasaan ini selalu wujud dalam jiwa remaja. Akhirnya mereka akan bertindak membelakangkan ibu bapa dan ketika itu pengaruh rakan sebaya menjadi alternatif kepada kekosongan jiwa yang mereka rasakan. Sebenarnya orang yang paling cepat merebut peluang mengisi kekosongan jiwa mereka ialah "syaitanir Rajim", lalu syaitan dan segala konconya memainkan peranan proaktif untuk mempastikan mangsanya benar-benar masuk ke dalam jeratnya. Matlamat yang ingin dicapai oleh syaitan ialah supaya anak itu menjadi derhaka kepada ibu bapanya, kemudian ia akan terus memujuk anak itu supaya mengikut telunjuknya sehingga matlamatnya yang terakhir berjaya iaitu menyeret anak itu masuk ke dalam neraka.

Perhubungan kasih sayang, mesra, hormat menghormati, belas kasihan, saling membantu, membimbing, yang disebut sebagai silaturrahim ini sangat penting dalam keluarga. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan terputusnya silaturrahim di antara anak-anak dengan ibu bapa mereka antaranya:
1. Ibu bapa tidak menunjukkan sikap mengambil berat terhadap pencapaian anak-anak dalam pelajaran dan menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada guru. Akibatnya anak-anak tidak memahami harapan ibu bapa terhadap diri mereka.
2. Terdapatnya konflik dalam keluarga. Kedua ibu bapa tidak bersefahaman dan sehaluan di rumah. Kanak -kanak tidak sunyi daripada dilanda perasaan hiba disebabkan berbagai -bagai peristiwa yang menyedihkan. Pengalaman -pengalaman ini merupakan detik peristiwa yang boleh memberikan pedoman dan pengajaran yang berguna dalam hidupnya. Umpamanya , kanak -kanak yang kematian ayahnya akibat kemalangan boleh dibantu jika ibu , datuk ,nenek dan saudara mara terdekat mencurahkan kasih sayang dan perhatian serta memberi nasihat - nasihat dan pandangan -pandangan positif yang boleh menolong mencorakkan personalitinya. Dia mungkin akan menjadi lebih cekal dan berfikiran lebih matang jika dibandingkan dengan kanak -kanak lain yang belum pernah mengalami situasi yang sebegitu mencabar. Setiap pengalaman yang memberinya kepuasan dan kejayaan akan menambahkan lagi perasaan yakin pada diri sendiri dan ini pula akan memberinya lebih kekuatan untuk berhadapan dengan cabaran -cabaran baru yang bakal menguji daya inteleknya . Sebaliknya , jika si anak tidak mendapat sokongan emosi dan perhatian yang amat -amat diperlukan , kesedihannya mungkin akan berlanjutan dan akan menjejaskan perkembangan sosial dan inteleknya. Akibatnya anak-anak lebih gemar mendampingi rakan sebaya.
3. Sistem nilai yang salah di mana terdapat anak-anak yang malu terhadap pendapatan ibu bapa yang rendah.
4. Salah laku ibu bapa yang kemudiannya menjadi contoh anak-anak. Akibatnya anak-anak terkeliru dalam membezakan perkara positif dan negatif.
5. Ibu bapa tidak prihatin kepada aktiviti-aktiviti sekolah umpamanya ibu bapa tidak tahu aktiviti sekolah sehingga mereka tertipu oleh anak-anak.
6. Ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak yang akibatnya menyebabkan anak merasa megah dan angkuh.

MENGAMBIL BERAT
Mengambil berat, ambil hirau atau ambil pusing atau ambil peduli sepatutnya menjadi 'rutin' kepada ibu bapa, kerana kalau perkara ini hanya berlaku sekali sekala sahaja sudah tentu tidak akan mendatangkan kesan yang memuaskan, bahkan mungkin anak-anak boleh tersalah anggap terhadap tindakan kita yang boleh menimbulkan rasa jengkel dan meluat dalam diri mereka. Kalau sikap mengambil berat ini menjadi rutin dalam kemesraan antara ibu bapa dan anak-anak, sudah tentu anak-anak akan merasa diri mereka diambil berat diambil pusing, yang ditafsirkan oleh perasaan murni mereka sebagai kasih dan sayang.
Perkara-perkara yang sepatutnya diambil berat atau yang patut sentiasa dihiraukan sebagai rutin antaranya ialah:
1. Bagaimana dengan peralatan atau kelengkapan, keperluan, persekitaran kemudahan anak kita? Adakah ianya mencukupi? Tidakkah anak kita kekurangan apa yang dia perlukan, atau apakah yang kita sediakan lebih dari mencukupi atau ianya terlalu berlebihan. Kalau ia tidak mencukupi sudah tentu ia perlu meminjam dari kawan-kawan, ini mungkin akan mengajar anak kita sifat kurang baik, kerana kalau ia terbiasa meminjam sudah tentu ia akan mendapat cemuhan dari kawan-kawan. Cemuhan ini akan bertambah serius jika anak kita dituduh menghilangkan apatah lagi dituduh mencuri. Tetapi kalau yang kita sediakan terlalu berlebihan, akan lain pula jadinya.

2. Bagaimana perkembangan anak-anak kita semasa berada di sekolah, atau di tempat kerjanya, perkembangan prestasinya yang berkaitan dengan akademik dan juga akhlaknya, atau mutu kerjanya. Adakah kerjayanya kini perlu kita beri pujian atau insentif?Apakah sebenarnya insentif yang bersesuaian untuk kerjayanya? Tetapi kalau kita hanya memandang sepi segala kemajuan yang ditunjukkan (dicapai), mereka mungkin beranggapan yang diri mereka tidak lagi diberi perhatian. Inilah perkara yang patut kita sering ingat dan cuba elakkan dari pernah berlaku.

3. Bagaimana akhlak dan disiplin anak-anak kita dalam bidang yang mereka ceburi? Kalau difikirkan mereka perlu diberi nasihat, motivasi atau tindakan yang lebih keras seperti rotan (rotan didikan), kita harus segera bertindak dengan bijaksana dan penuh hikmah. Kalau kita lambat apatah lagi gagal bertindak sewajarnya, kita akan menanggung risiko akibat kecuaian kita. Cuba fikirkan apakah pula yang patut kita ucapkan atau berikan seandainya ia memang terbukti berakhlak baik dan berdisiplin.
4. Kita mesti mengambil tahu hal keadaan anak-anak kita semasa mereka berada di rumah. Pastikan apapun yang mereka kerjakan adalah yang baik, bermanfaat dan jauh dari bahaya, samada bahaya pada fizikal mereka mahupun yang boleh membahayakan mental mereka, yang lebih utama ialah spiritual mereka. Apatah lagi jika mereka keluar atau di luar rumah. Membiarkan begitu sahaja, terlalu mudah mengizinkan, terlalu mudah untuk cuba dibohongi, adalah kesilapan besar yang akan membawa padah yang besar pula nanti. Kesilapan kita ini akan dijadikan ruang kesempatan untuk mereka mempelajari sifat-sifat negatif yang menjanjikan wujudnya anak derhaka. Jadi bertindaklah dengan bijaksana dalam mengawasi segala tindak tanduk mereka setiap masa. Kita bukan sahaja berperanan sebagai ibu bapa, tetapi kita juga bertindak sebagai guru, bahkan sebagai polis atau 'mata-mata gelap' dalam mempastikan anak-anak kita benar- benar beraksi di atas paksi yang luhur yang dikehendaki oleh lunas-lunas agama.

MEMPERUNTUKKAN MASA
Kesemua apa yang telah dikatakan sebelum ini memerlukan pengorbanan yang tinggi dari para ibu bapa. Ibu bapa mestilah pandai memperuntukkan masa yang secukupnya untuk melayani karenah anak-anak.

Sekali lagi kita harus bijaksana menguruskan masa kita. Jangan pula kerana sibuk mengurus anak-anak menyebabkan kita lalai terhadap tanggungjawab kita kepada tugas yang diamanahkan kepada kita oleh majikan kita, apatah lagi kalau sampai melalaikan kita terhadap tanggungjawab kita kepada Allah SWT dan Rasul SAW. Dalam hal ini Allah SWT telah memperingatkan kepada kita dengan firmannya yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta benda kamu dan anak-anak kamu dari mengingati (melaksanakan perintah) Allah, kerana barang sesiapa berbuat demikian maka merekalah orang yang rugi" (Surah Al-Munafiquun Ayat :9)
Dalam hal ini Pepatah Melayu juga ada mengtakan : "Bahawa masa itu adalah (umpama) emas". Ini menunjukkan masa itu terlalu berharga. Kalau kita gagal merebutnya maka kita akan rugi. Allah SWT sendiri berfirman dengan (keutamaan) masa, seperti firmannya yang bermaksud:
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu nescaya (berada) dalam kerugian. Kecuali orang- orang yang beriman dan beramal soleh (berlaku baik), dan berpesan-pesan dengan (menlaksanakan) kebenaran, dan berpesan-pesan dengan (mengamalkan sifat) kesabaran".
(Surah Al-'Asr)

BUKTI KEJAYAAN CEMERLANG
Kejayaan cemerlang atas segala usaha kita selama ini hanya akan berjaya dibuktikan oleh kita sendiri. Kita yang menjadi ketua rumah dapat membuktikan bahawa kita telah berjaya mengwujudkan 'keluarga bahagia' dalam rumah tangga kita. Sementara semua penghuni rumah itu dapat merasakan bahawa rumah yang mereka diami bagaikan syurga yang aman damai. Semua isi rumah akan mendokong slogan "Rumahku Syurgaku". Bahkan suasana tersebut juga dapat dihidu keharumannya oleh jiran tetangga mahupun para tamu yang datang berkunjung, yang tidak pernah diminta (komen) dari mulut mereka apapun pujian, tetapi bagaikan manis madu rasanya (mereka membuat komen) mengatakan bahawa suasana yang mereka rasai di dalam rumah kita bagaikan suasana sebuah syurga. Bahkan ibu bapa begini juga adalah orang yang memenuhi segala syarat yang perlu ada kepada ibu atau bapa "mithali", kerana kejayaannya membentuk keluarga bahagia dan cemerlang.

Ibu bapa ini juga kalau dia seorang pekerja yang menjawat apa-apa jawatan pun, di mana sahaja ia ditugaskan, bila-bila sahaja khidmatnya diperlukan, akan mempamirkan mutu
(kualiti) kerja yang berprestasi tinggi. Mereka ini berkhidmat dengan segala sifat-sifat yang terpuji, melaksanakan tugas dengan yang terbaik, bukan kerana inginkan pujian, amat teliti dalam segala tindakan dengan mengelakkan segala sifat-sifat yang keji bukan kerana takut kepada (kejian) caci dan maki dari sesiapapun. Mereka ini terbukti memenuhi segala syarat yang perlu ada kepada pekerja yang layak dianugerahi "Khidmat Cemerlang", bahkan majikannya tidak akan teragak-agak untuk mencalonkannya supaya dinaikkan pangkat atau dikurniai 'darjah-darjah' kebesaran dan lain-lain insentif.

BUKTI KECEMERLANGAN ANAK
Anak yang terdidik oleh ibu bapa cemerlang dengan kaedah-kaedah cemerlang akan menamatkan pengajiannya dengan cemerlang, bukan sahaja cemerlang akademiknya bahkan cemerlang peribadi dan jiwanya dengan akhlak yang mulia.

Walau apa bidang kerjaya yang diceburinya, dia tetap cemerlang. Sasaran utamanya adalah perkhidmatan yang terbaik, matlamatnya adalah kecemerlangan diri dan majikannya, bahkan kecemerlangan agamanya dapat dilihat dari mutu kerjanya yang sentiasa maju. Anak-anak ini tidak akan mudah dikelabui (dirasuah) dengan wang ringgit yang mungkin akan ditumbukkan kerusuknya. Ia sentiasa merasa diawasi oleh mata yang boleh melihat dalam keadaan terang mahupun gelap, yang nyata mahupun yang tersembunyi, DIA (Allah SWT) yang mewakilkan dua malaikat "Kiraman Katibin" yang tidak pernah lalai dari mencatat segala apa yang ia (juga kita semua) lakukan. Begitulah kuat imannya terhadap setiap rukun iman (yang enam) itu sendiri, sebagai bukti kecemerlangan dirinya.

Mereka ini menjalankan segala tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan penuh komitmen, iltizam dan istiqamah, tanpa mengira masa dan tidak tertakluk kepada nilai upah atau gaji yang diterima, bahkan merasakan bahawa gaji yang diterimanya dari majikan bukanlah satu keutamaan yang boleh merampas keutamaan sifat ikhlas yang menjadi sifatnya yang paling utama dalam mencari keredhaan Allah SWT.

KESIMPULAN
Seandainya apa yang disarankan melalui catatan ini dapat dipraktikkan sendiri oleh ibu bapa, samada untuk pakaian sendiri atau untuk diterapkan dalam agenda mentarbiah anak-anak dari masa ke semasa dengan penuh tanggungjawab dan bijaksana serta niat yang ikhlas.

Perlu diingat, bahawa kita sebenarnya bukanlah gagal dalam mentarbiah anak-anak kita, tetapi sebenarnya yang gagal adalah percubaan kita yang mungkin sebelum ini terdapat cacat- cela di sana sini. Oleh itu kita hendaklah berani untuk terus mencuba. Jangan sekali-kali kita gagal untuk meneruskan percubaan demi percubaan. Di samping usaha dan ikhtiar, terus bertawakkal panjatkanlah doa kepada Allah agar diri kita, keluarga kita dan anak-anak kita dijauhkan daripada tipu daya syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan anak-anak Adam a.s. Mudah-mudahan dengan kecekalan kita itu akan dimakbulkan oleh Allah SWT juga akhirnya Insya Allahu Ta'ala Amin ya Rabbal 'alamin.